KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat merekodkan perintah dilepas dan dibebaskan (DNAA) terhadap Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin bagi tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak meneruskan prosiding tersebut susulan kematian tertuduh.
Pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu meninggal dunia pada 5 Disember lalu menyebabkan kes berkenaan tidak lagi boleh diteruskan.
Bagaimanapun, dalam prosiding sama, mahkamah dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan oleh balu Bung Moktar, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk menggugurkan tiga pertuduhan bersubahat melakukan rasuah yang masih dihadapinya.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad kemudian menetapkan 5, 6 dan 12 Mac ini bagi sebutan dan perbicaraan kes melibatkan Zizie Izette, lapor MalaysiaGazette.
Zizie Izette yang juga pelakon sebelum ini mengemukakan representasi kepada AGC pada 24 Disember lalu, memohon supaya tiga pertuduhan bersubahat itu digugurkan.
Mahkamah turut dimaklumkan Zizie Izette kini dalam tempoh iddah susulan kematian suaminya.
Bung Moktar didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 ketika menjawat jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima suapan berkenaan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, melalui Zizie Izette di sebuah bank di Taman Melawati pada 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar turut dituduh memperoleh suapan tunai RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun dana pelaburan yang didaftarkan atas nama Zizie Izette pada 17 Jun 2015.



