LONDON – Malaysia akan berganding bahu dengan Jepun untuk mempercepatkan pembangunan semula Gaza selepas gencatan senjata yang baru dicapai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa beliau akan menghubungi Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, hari ini bagi membincangkan langkah terkini untuk merealisasikan usaha tersebut.
“Ada cadangan daripada Ishiba iaitu untuk pembangunan semula Gaza yang harus disegerakan kerana pendamaian yang telah dicapai ini,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama dalam acara Invest Malaysia di sini.
Anwar turut berkongsi bahawa Jepun telah meminta Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama dalam inisiatif Persidangan Kerjasama Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang dijadualkan berlangsung Julai ini. Persidangan itu akan memberi fokus kepada usaha pembangunan semula Gaza.
“Kita akan mencari dana dan kaedah terbaik bagi membantu Gaza dengan segera. Saya akan menghubungi PM Ishiba hari ini untuk menegaskan bahawa jawatankuasa berkaitan perlu segera bermesyuarat untuk merancang langkah yang praktikal,” jelasnya.
Cadangan Jepun untuk menyokong pemulihan Gaza ini sebelum ini telah dibincangkan semasa lawatan Ishiba ke Malaysia awal bulan ini.