KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneruskan permohonan mendapatkan perintah mahkamah untuk mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan titah addendum.
Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC Shamsul Bolhassan berkata, permohonan gag order itu akan diteruskan sehingga ada arahan sebaliknya.
Pada 13 Januari lalu, Shamsul yang juga Peguam Kanan Persekutuan memberitahu media, pihaknya akan memfailkan permohonan berkenaan pada 20 Januari depan.
Katanya, permohonan dibuat dengan alasan untuk melindungi institusi diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R), lapor BH di Putrajaya pada Khamis.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata perkara itu juga tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof, semalam.
Pada 6 Januari lalu, Datuk Seri Najib Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab atau mengesahkan kewujudan titah addendum pada Januari tahun lalu.
titah addendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Mahkamah sehubungan itu memerintahkan supaya kes semakan kehakiman berkenaan diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan.