KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merujuk kertas siasatan berhubung gerakan `Langkah Dubai’ bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pejabat Peguam Negara (AGC) hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin, berkata pihaknya akan menunggu arahan lanjut daripada pihak AGC untuk tindakan seterusnya.
“Buat masa ini tiada individu lain yang dipanggil untuk dirakam keterangan selain daripada empat individu yang kita panggil sebelum ini,” lapor BH pada Selasa.
Dalam pada itu, katanya setakat semalam, jumlah laporan polis yang diterima di seluruh negara berkaitan kes itu masih kekal sebanyak 145 laporan.
Akhbar itu sebelum ini melaporkan polis sudah memanggil empat individu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung perkara itu pada Jumaat lalu.
Mereka adalah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop, yang mula mendedahkan tentang gerakan berkenaan.
Tiga lagi adalah Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dan Mohamad Salim Iskandar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini dilaporkan berkata polis akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berkaitan isu Langkah Dubai selepas mereka didapati menggunakan media sosial sebagai platform untuk berbicara mengenai isu berkenaan.
Berikutan itu, katanya polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk melakukan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen dan suspek utama adalah aktivis politik, Raja Petra Kamarudin.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan.
Semalam, Razarudin turut dilaporkan berkata pihaknya akan merujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk menentukan langkah seterusnya berhubung siasatan terhadap Raja Petra kerana aktivis politik itu berada di London.
Ini kerana, katanya Raja Petra bukan sahaja diperlukan dalam kes ini tetapi ada beberapa kertas siasatan juga pernah dibuka ke atas beliau sebelum ini.