CYBERJAYA: Satu salinan surat kepada Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR), Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman tular di media sosial.
Surat bertarikh 11 Januari 2021 dan menggunakan Kepala Surat Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri itu memaklumkan bahawa Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM35,435,992 bagi pembinaan sebuah dewan di Parlimen Pagoh.
Surat tersebut turut memaklumkan Perdana Menteri mahu Jabatan Kerja Raya dilantik sebagai pelaksanakan projek tersebut.
“YAB Perdana Menteri juga turut menyatakan hasrat beliau agar pelaksanaan projek-projek ini dapat dimulakan secepat mungkin.
“Oleh yang demikian, YBhg. Dato’ dimohon untuk mengambil segala tindakan yang dapat memastikan projek-projek ini dapat bermula di tapak pada 1 Mac 2021,” kata surat tersebut.
Sebagai respon segera pendedahan surat tersebut, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan projek pembinaan dewan bernilai RM35 juta itu sebagai bala darurat.
Menerusi akaun twitternya, Ahli Parlimen Pulai itu berpendapat RM35 juta boleh digunakan untuk bantuan rakyat ketika berdepan pandemik Covid-19 ketika ini.
“Khabarnya, direct nego untuk bina dewan org ramai 35 juta .
“Kalau benar inilah bala darurat. Nak soal kat mana? Pintu parlimen dikunci.
“Sembang di kedai mamak pintu penjara terbuka. Nak bergayut di pagar istana apa kan daya.
“35 juta utk belanja rakyat masa covid ni kan bagus.,” tulis beliau.
Surat yang tular ini turut mendapat perhatian Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin.
Menulis di Facebook peribadinya, Kadir turut mempersoalkan langkah membuna dewan bernilai RM35 juta ketika negara berdepan Covid-19.
“Bukan sekadar meluluskan projek itu saja, Perdana Menteri turut menyatakan hasrat agar projek dimulakan pembinaannya 1 Mac ini. Orang putih kata: “What’s the hurry?” Adakah pilihan raya sudah mahu mari?
“Projek dalam kawasan Parlimen Perdana Menteri. Perdana Menteri sendiri bagi kelulusan dan arahan. Menteri-menteri lain buat apa? Makan gaji buta?
“Dewan mesti cepat bina. 1 Mac kena mula. Tapi jadual vaksinasi Covid sudahkah ada? Ikut berita, pendaftaran penerima pun belum mula,” katanya.
Sehingga kini belum ada sebarang penafian dari Pejabat Perdana Menteri berhubung surat dan projek ini.