CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) bermula 1 Januari 2026. Pelaksanaan ini dibuat menerusi pengetepian formaliti pendaftaran di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, atau dikenali sebagai Peruntukan Deeming.
MCMC menjelaskan langkah berkenaan bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial di negara ini beroperasi dalam kerangka perundangan dan kawal selia secara teratur, konsisten serta berkesan. Pendekatan itu juga selaras dengan kerangka pelesenan yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025 bagi memperkukuh tahap akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
Menurut MCMC, inisiatif berkenaan turut menekankan tanggungjawab yang lebih jelas kepada platform terlibat, khususnya dalam aspek keselamatan pengguna, termasuk perlindungan kanak-kanak dan keluarga daripada risiko dalam talian.
Pelaksanaan Peruntukan Deeming ini melibatkan penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan, antaranya WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, dan akan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Januari 2026. Penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, manakala pelaksanaan ini hanya terpakai selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat.
MCMC turut menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan terlibat akan terus beroperasi melalui platform global masing-masing seperti biasa, selaras dengan amalan antarabangsa dalam kawal selia platform dalam talian berskala besar.
Dalam pada itu, MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan serta agensi penguatkuasaan undang-undang bagi memperkukuh keselamatan dalam talian demi manfaat semua pengguna di Malaysia. Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan Peruntukan Deeming boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi MCMC.



