Oleh Zihan Zari
SHAH ALAM – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP/DOSH) melalui Bahagian Keselamatan Tapak Bina JKKP Malaysia dan JKKP Selangor telah menjalankan Operasi Tapak Pembinaan (OTP) Bil. 3/2025.
Ketua Pengarah JKKP, Mohd Hatta Zakaria berkata operasi ini dijalankan serentak di seluruh negara bermula pada 8 Disember lalu bertujuan untuk menilai tahap pematuhan sektor pembinaan terhadap perundangan yang tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024.
“Statistik kes kecederaan dan maut di tapak pembinaan yang disiasat oleh JKKP sahaja pada tahun 2023 melibatkan kecederaan sebanyak 203 kes dan maut sebanyak 68 kes.
“Bagi tahun 2024 melibatkan kecederaan sebanyak 195 kes (maut: 66 kes) dan sehingga Oktober 2025 melibatkan kecederaan sebanyak 115 kes (maut: 35 kes), ”katanya dalam kenyataan.
“Bagi tahun 2024, statistik kecederaan pekerjaan negara merekodkan sejumlah 5,290 kes kecederaan pekerjaan di sektor pembinaan. Daripada jumlah tersebut, 101 kes adalah kes maut.
“Jatuh daripada tempat tinggi merupakan antara punca utama kes kecederaan di tapak pembinaan dengan 1,299 kes direkodkan sepanjang tahun 2024.
“Sepanjang tahun 2025, sejumlah 3 OTP dijalankan di seluruh negara. OTP Bil. 1/2025 bertemakan ‘Tiada Jatuh, Pekerja Selamat’ telah dijalankan pada 17 hingga 28 Februari lalu di 241 tapak pembinaan,”katanya lagi.
“OTP Bil. 1 memfokuskan kepada pengawalseliaan aktiviti-aktiviti kerja di tempat tinggi dan kerja mengangkat di samping pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 serta Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Seterusnya, OTP Bil. 2/2025 dijalankan pada 16 hingga 27 Jun 2025 dengan tema ‘Ops Patuh Elak Jatuh’ yang memfokuskan kepada mengawal selia aktiviti kerja tempat tinggi dan pemantauan tapak selamat.
“Operasi ini telah dijalankan di 225 tapak bina seluruh negara. OTP Bil. 3/2025 bertemakan ‘Pematuhan Konsisten, Tapak Selamat’ pula dijalankan pada 8 hingga 12 Disember 2025 yang memfokuskan kepada pemeriksaan tapak bina dengan rekod ketidakpatuhan berulang (hasil operasi atau pemeriksaan sebelum ini).
“Selain itu, pemeriksaan terhadap pelaksanaan tanggungjawab Part IV Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, ”ujarnya.
“Pihak jabatan telah mengambil tindakan punitif pada OTP Bil.1/2025 dengan mengeluarkan 302 Surat Arahan, 197 Notis Pembaikan, 239 Notis Larangan, 46 Sita dan 14 Cadangan Kertas Siasatan.
“Pada OTP Bil. 2/2025 pula, sebanyak 458 Surat Arahan, 179 Notis Pembaikan, 230 Notis Larangan, 39 Sita dan 7 Cadangan Kertas Siasatan telah dikeluarkan.
“Secara keseluruhannya, JKKP telah mengeluarkan 760 Surat Arahan, 376 Notis Pembaikan, 459 Notis Larangan, 85 Sita dan 21 Cadangan Kertas Siasatan sepanjang kedua-dua OTP ini,”ujarnya lagi.
“JKKP komited dalam melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa diutamakan.
“Semua pihak yang terlibat termasuk klien, hendaklah memastikan projek pembinaan dijalankan dengan selamat melalui pematuhan terhadap Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 dan garis panduan yang berkaitan dengan sektor pembinaan,”tambahnya.
“Majikan juga perlu memastikan pekerja yang bekerja di sektor ini diberi latihan yang mencukupi supaya mereka mempunyai pengetahuan dan kesedaran tentang kerja selamat dan sihat.
“Jabatan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan atau pengurus projek yang gagal mematuhi peruntukan perundangan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan tapak pembinaan dan kawasan berhampirannya selamat dan kondusif kepada pekerja dan orang awam yang mungkin terdedah kepada aktiviti di tapak bina tersebut,”tambahnya lagi. – SUARA.TV



