UMNO dinoda perasuah, Harimau Asia bertukar kepada kleptokrasi – Dr Mahathir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak rakyat Malaysia berhenti menyokong UMNO supaya Malaysia tidak terus kekal sebagai kleptokrasi.

Beliau sebaliknya mencadangkan alternatif kepada pengundi untuk menyokong parti Pejuang yang dipimpinnya.

Pengerusi Pejuang itu berkata, orang Melayu seolah-olah hanya nampak UMNO untuk memelihara hak dan keselamatan orang Melayu bahkan tidak percaya kepada parti berbilang kaum.

“Sehingga kini orang Melayu hanya kenal UMNO sebagai parti Melayu. Bagi mereka tidak ada pilihan jika nak sokong parti Melayu melainkan UMNO.

“Mereka tidak percaya parti berbilang kaum, bahkan parti Islam pun boleh memelihara hak dan keselamatan orang Melayu.

“Malangnya parti UMNO sudah dirampas oleh perasuah dan penyangak. Mereka ini hanya berhasrat mengguna UMNO dan orang Melayu untuk jadi kerajaan dan mengguna kuasa kerajaan untuk memperkayakan diri mereka,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam catatan di blognya pada Rabu.

Dr Mahathir berkata, sejak kelompok itu mengambil alih UMNO negara bertukar dari menjadi Harimau Asia kepada kleptokrasi iaitu negara yang diperintah oleh pencuri, penjenayah.

“Jika UMNO masih disokong maka Malaysia akan kekal sebagai kleptokrasi. Maka akan rosak dan hancurlah negara dan orang Melayu.

“Inilah sebabnya Parti Pejuang Tanahair ditubuh. Ia adalah parti Melayu dan Bumiputera seperti UMNO.

“Jika orang Melayu tidak sanggup beri undi kepada UMNO kerana sudah menyeleweng, dan masih tidak percaya kepada parti berbilang kaum, maka Pejuang boleh dijadikan pilihan,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi memberitahu, bukan sahaja Pejuang parti Melayu tetapi ia mendokong semua prinsip dan perjuangan UMNO dahulu yang melawan Malayan Union, yang memerdekakan Malaya, dan membangun negara sehingga dikenali sebagai Asian Tiger.

“Selain daripada itu, Pejuang menentang rasuah, jenayah kewangan dan salah guna kuasa.

“Kepimpinan Pejuang terdiri dari bekas pemimpin UMNO yang telah berjaya bangunkan Malaysia. Mereka akan latih semua pemimpin Pejuang supaya pegang kuat kepada prinsip perjuangan UMNO dahulu iaitu khidmat untuk bangsa, negara dan agama – bukan untuk diri sendiri.

“Calon-calon Pejuang akan terdiri dari mereka yang tidak terlibat dengan rasuah, yang utamakan bangsa, negara dan agama.

“Kita sedar adanya orang bukan Melayu dalam negara kita. Kerajaan yang kita dirikan akan dianggotai juga oleh bukan Melayu yang menolak rasuah dan percaya kepada kerjasama antara kaum dan agihan kekayaan secara adil antara kaum-kaum di Malaysia,” katanya.

Menurut Dr Mahathir lagi, dengan adanya Parti Pejuang Tanahair yang disertai oleh orang Melayu dan bumiputera maka orang Melayu dan Bumiputera yang tidak sanggup sokong UMNO kerana korupsi dan jenayah mereka, dapatlah mereka sokong Pejuang, sebuah parti Melayu yang bersih dan cinta kepada bangsa, negara dan agama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat