Tiga keputusan penting dicapai Majlis Air Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tiga keputusan penting disepakati dalam mesyuarat ketiga Majlis Air Negara (MAN3) yang dipengerusikan secara maya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Pada mesyuarat ini, Majlis Air Negara telah mempertimbang dan bersetuju dengan tiga kertas pertimbangan yang telah dibentangkan.

Perdana Menteri memberitahu, salah satunya membabitkan pewartaan perizaban tanah kerajaan untuk pengekalan kolam takungan banjir dan rizab sungai.

“Kepesatan proses perbandaran di negara menyebabkan banjir kerap berlaku ketika hujan lebat. Gangguan kepada fasiliti atau komponen ini akan
menjejaskan keseluruhan sistem tebatan banjir yang merangkumi komponen utama sungai dan kolam takungan banjir.

“Cadangan pewartaan perizaban tanah kerajaan adalah bertujuan untuk memastikan pengekalan fungsi kolam takungan banjir dan rizab sungai, menjamin kualiti sumber air bersih dan juga memulihara alam sekitar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Selain itu, jelas beliau perkara kedua ialah aras lindung selamat reka bentuk infrastruktur pantai akibat kesan perubahan iklim dan kenaikan aras laut.

Katanya, fenomena perubahan iklim dan kenaikan aras laut yang sedang dan akan terus berlaku bakal menyebabkan kejadian ekstrim seperti banjir, musim
kering, kenaikan aras laut dan pusuan ribut yang berisiko menyebabkan bencana kepada kawasan pesisir pantai.

“Tindakan dan adaptasi aras lindung pantai bagi jangka pendek, sederhana dan panjang melalui kaedah struktur atau penyelesaian berasaskan alam
semula jadi (Nature Based Solution) perlu mengambilkira faktor perubahan iklim dan kenaikan aras laut dalam perancangan dan pembinaan, supaya aras
lindung pantai tersebut mampu menangani bencana ekstrem bagi mengurangkan impak bencana dan menjamin kelestarian sosio-ekonomi dan pembangunan negara.

“Ketiga, kerjasama pelaksanaan inisiatif air pulih guna di antara Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. dengan syarikat operator air negeri; inisiatif air pulih guna ini bertujuan mengoptimumkan sumber air negara sedia ada dan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar melalui konsep
ekonomi kitaran (circular economy) dalam menguruskan sumber air negara.

“Penyediaan sumber air baharu untuk kegunaan industri bukan makanan adalah salah satu strategi oleh kerajaan sebagai langkah pemulihan dan pemeliharaan sumber air selain peluang mewujudkan sumber pendapatan tambahan syarikat operator air,” ujar Ismail Sabri.

Bukan sekadar itu, Perdana Menteri juga memaklumkan Majlis Air Negara juga telah mengambil maklum dua kertas makluman iaitu pembahagian tanggungjawab antara jabatan pengairan dan saliran, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain terhadap sistem saliran; dan garis panduan pembinaan telaga tiub untuk tujuan eksplorasi, pemantauan dan pengeluaran dalam penggunaan sumber air bawah tanah.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu Majlis Air Negara adalah platform penting bagi penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi menetapkan dasar, hala tuju dan pendekatan berhubung dengan pengurusan dan pembangunan air negara.

“Mesyuarat telah menekankan bahawa negara perlu memberi perhatian serius terhadap impak peningkatan suhu global melebihi 1.1 darjah celsius yang
mengakibatkan musim kering dan kekerapan kejadian banjir.

“Mesyuarat menyarankan supaya tindakan mengambil kira faktor kesan perubahan iklim dilaksana segera dalam perancangan pembangunan supaya negara dapat mengelak peningkatan kerosakan harta benda dan juga kehilangan nyawa pada masa hadapan.

“Selain itu, mesyuarat turut menegaskan agenda transformasi sektor air yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 sehingga Rancangan Malaysia
Ke-15,” katanya.

Jelas beliau, agenda ini akan menjadikan sektor air sebagai pemboleh daya ekonomi serta penjana pertumbuhan yang dinamik menjelang tahun 2040.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah amat penting dalam memastikan agenda transformasi tersebut berjaya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat