PKPB: Kementerian Wilayah Persekutuan salur bantuan RM39.75 juta

- Advertisement -

PKPB: Kementerian Wilayah Persekutuan salur bantuan RM39.75 juta

KUALA LUMPUR – Susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memperuntukkan RM39.75 juta perbelanjaan bagi mewujudkan inisiatif tambahan Wilayah Cakna 3.0.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif tersebut bertujuan membantu golongan B40 dan miskin bandar yang terkesan dengan pelaksanaan PKPB bermula semalam.

“Keseluruhan perbelanjaan yang dikeluarkan KWP dan agensi serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) untuk tempoh Mac hingga 12 Oktober adalah RM108.64 juta.

“Oleh itu, inisiatif Wilayah Cakna 3.0 kali ini dikhususkan untuk warga kota yang terkesan dengan PKPB sahaja, serta tidak melibatkan kluster petugas barisan hadapan mahupun pesakit serta Pesakit Bawah Siasatan (PUI) COVID-19,” katanya.

Selain itu, Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) memberitahu, sejumlah RM14.4 juta diperuntukkan untuk komuniti yang menetap di Projek Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN) dan Perumahan Awam (PA) DBKL.

Ujarnya, kesemua yang terlibat akan dikecualikan bayaran sewa rumah bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2020.

“Keseluruhan peruntukan itu akan memberi manfaat kepada 40,000 penyewa PPR MTEN dan PA DBKL di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Manakala sejumlah 5,830 penjaja dan peniaga kecil berlesen di Kuala Lumpur pula dikecualikan caj sewaan premis niaga (milik DBKL) yang melibatkan pengecualian hasil kepada DBKL berjumlah RM2.5 juta.

“Mereka juga turut diberi pengecualian bayaran bagi pembaharuan lesen perniagaan bulan November 2020 yang melibatkan 1,339 akaun dengan kos sebanyak RM330,000.00,” tambahnya.

Dalam pada itu, mengulas berhubung manfaat kepada warga Putrajaya pula, Annuar memaklumkan, pengecualian caj sewaan premis milik Perbadanan Putrajaya (PPj) juga diberikan dan ia memberi manfaat kepada 302 penjaja serta peniaga kecil di situ yang bermula Oktober hingga Disember 2020 dengan pengecualian hasil kepada PPj berjumlah RM1.87 juta.

Beliau berkata, penjaja dan peniaga kecil terlibat turut diberi pengecualian bayaran pembaharuan lesen perniagaan yang dibuat dalam tempoh Oktober hingga Disember 2020 melibatkan peruntukan berjumlah RM50,000.

Kata Annuar lagi, PPj juga akan menyediakan bantuan ‘Food Pack’ berbentuk baucar makanan kepada asnaf dan golongan miskin bernilai RM100 untuk setiap isi rumah.

Tambahnya, bagi pelajar sekolah daripada keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur pula, mereka akan menerima baucar bantuan buku latihan sekolah bernilai RM100 daripada YWP yang boleh digunakan di koperasi sekolah masing-masing.

“Manakala 1,000 orang pelajar miskin di Putrajaya juga turut menerima baucar Kembali ke Sekolah bernilai RM100 daripada PPj sebagai persediaan untuk perbelanjaan barangan persekolahan tahun hadapan.

“Seramai 350 orang pelajar tadika kelolaan PPj turut dikecualikan bayaran yuran bulan ini.

“Selain itu, sumbangan sebanyak RM3,000 secara ‘one-off’ diberikan kepada 11 Majlis Perwakilan Penduduk (MPPWP) Kuala Lumpur dan enam sub zon MPPWP Putrajaya, manakala RM2,000 secara ‘one-off’ kepada 570 persatuan-persatuan penduduk di kedua-dua wilayah itu.

Selain itu, kata Annuar, sejumlah RM1.4 juta diperuntukkan bagi program bantuan kepada golongan asnaf dan berpendapatan rendah oleh JAWI.

Jelasnya, pemberian itu termasuk bantuan kepada masjid dan surau Jumaat di WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan; Program Dapur It’am; Program Bantuan Dakwah dan Program Bantuan Baitul Rizq Masjid Wilayah.

Kata beliau, pihak MAIWP juga turut memberi bantuan kecemasan khas COVID-19 dan bantuan makanan serta sewa kediaman kepada mahasiswa awam di institut pengajian tinggi awam di Kuala Lumpur berjumlah RM12.7 juta.

Insiatif lain menurutnya ialah program nyah kuman merangkumi aktiviti disinfeksi serta pembersihan menyeluruh di semua kawasan awam dan sekolah di kedua-dua wilayah akan dilaksanakan secara berterusan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat