UMNO dihina secara terbuka, Pemuda Negeri Sembilan sokong keputusan Biro Politik

- Advertisement -

Kuala Lumpur – Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyatakan sokongan penuh atas keputusan yang dibuat Biro Politik parti itu untuk mempertimbangkan semula kerjasama dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketuanya, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata walaupun keputusan tersebut pahit untuk diluahkan, tetapi ia perlu dibuat demi menjaga maruah parti dan rakyat secara keseluruhannya.

“Sebenarnya inilah yang dimahukan oleh ahli akar umbi UMNO. Kerana selama berada di dalam Kerajaan Perikatan Nasional, UMNO seolah-olah diketepikan daripada menentukan hala tuju penting Kerajaan wahal UMNO merupakan komponen terbesar dalam gabungan Kerajaan hari ini.

“Tidak cukup dengan itu, UMNO juga dihina secara terbuka termasuk oleh Ketua Armada mereka sendiri yang langsung tidak menghormati persabahatan di dalam Kerajaan campuran ini.

“UMNO juga mengalah serta menghormati persabahatan sesama parti apabila mengambil keputusan untuk tidak bertanding di semua kerusi semasa Pilihan Raya Negeri Sabah bagi memberi laluan kepada rakan-rakan di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),” katanya melalui satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut Zaidy, UMNO selama ini banyak bersabar apabila banyak jawatan penting di dalam kerajaan langsung tidak melibatkan wakil daripada parti itu.

“Apabila Kerajaan diserang kerana keputusan yang tidak popular, kami dari UMNO jugalah yang beria-ia mempertahankan Kerajaan di media-media sosial.

“Kami pertahankan Kerajaan kerana itu adalah sifat kami dalam persabatan, sentiasa mengalah dan setia dalam bersahabat. Susah senang bersama demi negara dan rakyat yang kita cintai.

“Tetapi semua pengorbanan itu seolah-olah tidak dihargai oleh pimpinan Kerajaan hari ini. Kami tahu dan sedar bahawa hari ini UMNO sedang dikhianati,” tegasnya lagi.

Menurutnya lagi sekiranya kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan bertolak ansur maka adalah lebih wajar untuk UMNO menjadi pembangkang sehingga pilihan raya umum ke-15.

“Dalam keadaan situasi ekonomi global yang tidak menentu seperti hari ini, negara perlukan sebuah Kerajaan yang stabil. Sebab itulah UMNO dan Barisan Nasional perlu kembali memimpin Kerajaan. Demi rakyat dan negara.

“Jika tidak menjadi Kerajaan sekali pun, biarlah UMNO menjadi pembangkang sahaja. Jadikanlah ini satu pengajaran. Kita tidak mahu menjadi sebahagian daripada Kerajaan yang hanya melukut di tepi gantang!,” ujarnya lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat