Penghuni PPR dan Perumahan Awam DBKL Dikecualikan Sewa Hingga Disember

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR), Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikecualikan bayaran sewa selama tiga bulan mulai Oktober hingga Disember ini.

Pengecualian sewa tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif Wilayah Cakna 3 Kementerian Wilayah Persekutuan yang melibatkan peruntukan hampir RM40 juta bagi membantu penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah tersebut melibatkan peruntukan berjumlah RM14.4 juta kepada 40,000 penghuni PPR MTEN dan PA DBKL.

“Seramai 5,830 penjaja dan peniaga kecil berlesen di Kuala Lumpur pula dikecualikan caj sewaan premis perniagaan (milik DBKL) yang akan menyebabkan pengecualian hasil kepada DBKL bernilai RM2.5 juta.

“Penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan juga diberikan pengecualian bayaran bagi pembaharuan lesen perniagaan bulan November yang membabitkan 1,339 akaun dengan kos RM330,000,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan melalui Facebook hari ini.

Menurut Annuar, pengecualian caj sewaan premis milik Perbadanan Putrajaya (PPj) juga memberi manfaat kepada 302 penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan yang bermula Oktober hingga Disember 2020 membabitkan pengecualian hasil RM1.8 juta.

Katanya, penjaja dan peniaga kecil di Putrajaya juga diberikan pengecualian bayaran pembaharuan lesen perniagaan dalam tempoh Oktober hingga Disember ini membabitkan peruntukan berjumlah RM50,000.

Katanya, PPj juga menyediakan bantuan baucar pek makanan kepada asnaf dan golongan miskin bernilai RM100 bagi setiap isi rumah.

“Kementerian turut menyediakan baucar bantuan buku latihan bernilai RM100 daripada Yayasan Wilayah Persekutuan yang boleh digunakan di koperasi sekolah masing-masing, manakala 1,000 pelajar miskin di Putrajaya akan menerima baucar ‘back to school’ bernilai RM100 dari PPj, selain 350 pelajar tadika kelolaan PPj dikecualikan bayaran yuran Oktober 2020.

“Kementerian juga akan memberikan sumbangan ‘one off’ bernilai RM3,000 kepada 11 majlis perwakilan penduduk di Kuala Lumpur dan enam sub zon di Putrajaya, selain bantuan one off sebanyak RM2,000 kepada 570 persatuan penduduk di Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya. – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat