KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa terkesan dengan bencana banjir yang sedang melanda negeri Sabah dan mengarahkan seluruh jentera Kerajaan MADANI digerakkan segera bagi membantu rakyat yang terjejas.
Beliau menegaskan, keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup mangsa banjir dibela sebaiknya dengan tumpuan segera.
“Selain daripada peruntukan sebanyak RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri, saya telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi disalurkan terus kepada mangsa yang terkesan untuk pembaikan segera kemudahan asas. Kerajaan MADANI akan memastikan setiap keluarga yang terkesan untuk segera menerima bantuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar turut menyeru semua pihak agar bersatu padu dan berganding bahu demi membantu rakyat Sabah yang kini berdepan ujian getir. “Zahirkan semangat kebersamaan dan kepedulian serta tanggungjawab bersama dalam menempuh ujian dahsyat ini,” katanya.
Menurut laporan NADMA pada 15 September 2025, seramai 751 mangsa daripada 216 keluarga kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah iaitu Tenom, Nabawan, Keningau, Sook, Beaufort dan Sipitang. Secara kumulatif sejak 1 September lalu, jumlah keseluruhan mangsa banjir di Sabah direkodkan seramai 1,112 orang daripada 320 keluarga. Antara kawasan paling terjejas ialah 22 kampung di Penampang dan Beaufort dengan limpahan Sungai Padas serta hujan lebat berterusan yang menenggelamkan beberapa kawasan rendah.
Di Penampang, PPS SK St Paul Kolopis menempatkan 59 mangsa daripada 19 keluarga manakala Dewan Huguan Siou menempatkan 142 mangsa daripada 32 keluarga. Di Beaufort pula, Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon menempatkan 155 mangsa daripada 51 keluarga. Bencana ini turut meragut nyawa seorang lelaki warga emas yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang. Beberapa kejadian tanah runtuh lain turut dilaporkan di Kota Kinabalu dan Papar, menyebabkan laluan jalan rosak teruk. Setakat ini, 26 jalan utama dan kecil masih ditutup akibat tanah runtuh, banjir kilat dan kerosakan struktur.
Insiden tanah runtuh yang mengakibatkan menara penghantaran elektrik tergelincir di Penampang turut menjejaskan hampir 230,000 pengguna di enam daerah Pantai Timur Sabah iaitu Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Beluran dan Kinabatangan. Gangguan bermula sekitar jam 5.05 petang apabila kedua-dua litar talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud terputus, menyebabkan bekalan elektrik terhenti secara menyeluruh. Sabah Electricity Sdn Bhd kini melaksanakan kerja-kerja kecemasan termasuk pemasangan menara sementara dan pintasan saluran bagi memulihkan bekalan secara berperingkat. Di samping itu, gangguan bekalan air turut dilaporkan di Sandakan apabila loji rawatan Segaliud tidak dapat beroperasi sepenuhnya.
Selain elektrik dan air, talian komunikasi di beberapa kawasan turut terganggu, sekali gus menyukarkan penyelarasan maklumat dan operasi bantuan. Namun, pasukan penyelamat serta agensi kerajaan sedang giat memastikan bekalan makanan, logistik dan bantuan asas dapat disalurkan kepada semua keluarga terkesan dalam kadar segera.
Dengan peruntukan tambahan RM10 juta daripada kerajaan persekutuan, ditambah RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri, usaha bantuan dijangka dapat dipercepatkan bagi meringankan beban mangsa dan memulihkan kawasan terjejas. – SUARA.TV



