PAS Boleh Minta Berapa Kerusi Pun, Tidak Semestinya Dipersetujui – Mohamad Hasan

- Advertisement -

KOTA KINABALU- Syor PAS kepada rakan-rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) untuk berkorban memberikan minimum 50 kerusi kepada parti Islam itu dianggap hanya permintaan yang tidak semestinya ditunaikan.

Permintaan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS baru-baru ini dijawab Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menyifatkan, syor untuk mendapatkan 50 kerusi itu hanyalah sekadar permintaan Pemuda PAS namun, pengagihan kerusi akan diputuskan pimpinan semua parti dalam BN bersandarkan kepada kemampuan parti Islam itu sendiri.

“Dia (PAS) minta 50 kerusi… apa tak minta 100? Permintaan, permohonan itu biasa. Orang nak minta kerusi tapi sama ada dapat ataupun tidak kita tak tahulah kan?

“Jadi itu permohonan dia (PAS), macam juga di Sabah ini, permohonan macam-macam kan? Macam MCA mohon berapa banyak … itu(PAS) berapa banyak? Jadi kita mesti mengukur baju di badan sendirilah, kerana kemampuan kita di sini dan di mana tempat.

“Itu pandangan dia, PAS nak 50 kerusi itu dari segi pandangan mereka tetapi bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kita nanti duduk sama-sama kepimpinan semua parti duduk dan kita akan berbincang di situ.

“Seperti di Sabah ini, kita merekabentuk satu formula siapa dapat berapa kerusi dan di mana bertanding,” jelas Timbalan Presiden UMNO itu lagi.

Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat menghormati permintaan Timbalan Ketua Pemuda PAS berkenaan, namun, hal-hal pembahagian kerusi dalam gabungan PN perlu dirunding secara berhemah.

Terdahulu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengemukakan usul minimum 50 kerusi untuk PAS bertanding pada PRU15 akan datang.

“Alhamdulillah, usul minimum 50 kerusi PAS bertanding lulus di Muktamar Pemuda.

“Saya cadangkan antara kerusi Parlimen itu ialah 14 kerusi daripada 14 Parlimen di Kelantan, lapan daripada lapan Parlimen di Terengganu, 15 daripada 15 Parlimen Kedah dan tiga daripada tiga Parlimen Perlis,” ujarnya.

Beliau menambah, kerusi selebihnya boleh cari di negeri-negeri lain.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat