KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan akan membuat satu pengumuman besar pada pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen, Oktober depan.
“Ada pengumuman jauh lebih penting, itu pada hari belanjawan Oktober nanti, Insya-Allah,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam kali ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Jumaat.
Ucapan itu disambut sorakan dan tepukan gemuruh daripada penjawat awam yang hadir. Anwar turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak, khususnya penjawat awam, atas peranan besar mereka dalam membantu negara mencapai kejayaan dan pengiktirafan antarabangsa.
“Negara kita tidak akan jadi begini, diiktiraf dan mencatat beberapa kejayaan tanpa sumbangan saudara-saudara. Terima kasih banyak,” ujarnya.
Belanjawan 2026, yang akan dibentangkan pada 10 Oktober 2025, bakal menjadi belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026–2030. Ia dijangka terus menekankan tiga tonggak utama Ekonomi Madani – meningkatkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh taraf hidup rakyat, dan memacu pembaharuan dengan tatakelola yang baik.
Kementerian Kewangan memaklumkan proses penyediaan belanjawan akan melibatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan dan masyarakat umum bagi memastikan hala tuju selari dengan keutamaan negara.



