Jualan Murah Keluarga Malaysia Dipertimbang Diperluas Ke IPTA – Annuar

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Program Jualan Murah Keluarga Malaysia akan dipertimbang untuk diperluaskan di 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA) , kata Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata cadangan itu diutarakan wakil pemimpin pelajar daripada IPTA, institut pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk kolej latihan perguruan dalam satu sesi libat urus dengannya tengah hari tadi yang antara lain membangkitkan isu kos sara hidup yang perlu ditanggung pelajar di kampus.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat pasukan itu minggu hadapan bagi membolehkan pelajar turut menikmati kemudahan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia seperti yang diadakan di 639 Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini.

“Saya jangka kampus akan dibuka semula pada pertengahan September dan Oktober. Jadi jawatankuasa akan mempunyai masa yang cukup untuk bincang kaedah dan mekanisme sekiranya jawatankuasa dapat memberi ‘endorsement’ atau persetujuan supaya konsep Jualan Murah Keluarga Malaysia dapat diperluaskan ke 20 kampus IPTA,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi di sini hari ini.

Program Jualan Murah Keluarga Malaysia yang bermula pertengahan Ogos merupakan program yang memberi akses kepada rakyat untuk mendapatkan barangan lebih murah pada setiap minggu.

Bagi melicinkan proses permohonan di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia pula, Annuar berkata persatuan mahasiswa khususnya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) diberi tanggungjawab menjadi pusat rujukan bagi kes rayuan untuk pelajar yang mengemukakan permohonan mereka secara dalam talian dan tidak diluluskan.

Katanya terdapat permohonan pelajar yang tidak melepasi saringan kerana mereka bukan daripada golongan B40, namun secara realitinya ibu bapa pelajar itu telah berpisah dan pelajar sememangnya memerlukan bantuan.

“Kes sedemikian dengan perakuan yang diberikan persatuan mahasiswa mereka, ia boleh dipertimbangkan (untuk lulus permohonan peranti siswa),” katanya serta menambah ia juga bertujuan memastikan pelajar yang benar-benar layak tidak tercicir daripada program itu.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 sejajar dengan hasrat kerajaan memastikan rakyat terutamanya pelajar universiti mempunyai peranti serta akses internet pada kos yang berpatutan.

Annuar dalam pada itu berkata Program Jualan Murah Keluarga Malaysia peringkat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan diadakan pada 19 Ogos hingga 21 Ogos ini di Stadium Shah Alam, Selangor sebelum diperluaskan ke negeri lain.

Program Jualan Murah Keluarga Malaysia Fasa Kedua pula akan dilancarkan di Parlimen Bera pada 26 Ogos ini di bawah kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), kata Annuar.

Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa turut membincangkan mengenai kerangka aspek yang menguasai dan menentukan tahap inflasi negara.

“Sebelum ini ia tertumpu kepada barangan yang harganya melonjak dan menimbulkan keresahan namun perkara tersebut telah dapat distabilkan.

Dalam konteks tangani inflasi, skop perlu diperluaskan dan usaha perlu mula ditumpukan pada sektor pengangkutan, perumahan, dan beberapa sektor lain yang pada masa akan datang boleh menyumbang kepada inflasi,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,498FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat