Sah BERSATU setuju sertai Muafakat Nasional

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersetuju menyertai Muafakat Nasional (MN), kata presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan menerusi rakaman video, Muhyiddin menjelaskan, menyertai MN merupakan pilihan terbaik untuk BERSATU kerana penyatuan itu akan mewujudkan kestabilan politik negara.

Sebelum ini MN merupakan kerjasama politik antara UMNO dan PAS.

“Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU bersetuju menyertai Muafakat Nasional yang mendokong Perikatan Nasional sebagai gabungan besar atau ‘the grand coalition’.

“Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita.

“Dengan terbentuknya penyatuan antara BERSATU, UMNO, PAS dan parti-parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional, sebahagian besar sokongan rakyat sudah berada di pihak kita,” katanya.

Muhyiddin menegaskan, beliau tidak mengkhianati perjuangan BERSATU, malah beliau menjelaskan tiada sebab untuk mengkhianati parti yang ditubuhkannya bersama beberapa pengasas lain, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dahulu Dr Mahathir bersama-sama dengan kita. Saya tidak boleh nafikan sejarah sumbangan Dr Mahathir kepada parti kita.

“Saya hormat beliau sebagai bekas pemimpin parti. Orang-orang yang dekat dengan saya pasti tahu betapa hormatnya saya kepada Dr Mahathir.

“Saya dan kita semua pastinya berasa sedih kerana beliau tidak lagi bersama-sama kita.

“Tidak mengapalah. Beliau memilih haluannya sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya lagi.

Bagi Muhyiddin, apa yang lebih penting ialah perjuangan BERSATU mesti diteruskan kerana pemimpin parti datang dan pergi, tetapi wadah perjuangan parti perlu dipertahankan.

“Kita mesti jalan terus. Jangan kita berpaling ke belakang. Teruslah mara ke hadapan.

“Apa yang ada di hadapan kita mesti kita hadapi dengan tabah,” katanya.

Selepas tidak lagi bersama BERSATU, Dr Mahathir mengumumkan akan menubuhkan sebuah parti baharu yang dinamakan Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG).

PEJUANG turut bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Slim dengan meletakkan calon mereka, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat