KUALA LUMPUR: Vokalis Hujan, Noh Salleh tidak tahu menahu bagaimana kisah keretakan rumah tangganya bersama penyanyi Mizz Nina boleh timbul.
Menyifatkannya sebagai berita palsu, penyanyi berusia 37 itu berkata, ini kali pertama mendengar gosip sedemikian sepanjang 11 tahun mendirikan rumah tangga.
“Entahlah, saya tiada komen, anda semua kena tipu. Saya sendiri baru tahu, tidak sangka ada juga cerita-cerita begini.
“Itu adalah berita palsu.
“Bagi saya, perkara seumpama ini tiada maknanya. Kisah peribadi adalah hak saya.
“Saya mahu menonjolkan karya seni, bukan perkara peribadi,” katanya.

Berbicara soal anak, Noh dan Mizz Nina yang mengambil anak angkat, Baby Musa pada Mac lalu bahagia dengan kehadiran cahaya matanya.
Katanya, dia tidak menyangka wujud perasaan cinta lain yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata apabila memiliki cahaya mata.
“Apabila sudah memiliki anak barulah saya tahu ada perasaan sayang pada tahap berbeza.
“Saya dan Nina sentiasa risaukan keadaan kesihatan Musa. Dua minggu sekali kami akan membawa Musa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Berita Harian