Yuran Asrama & Perkhidmatan IPTA Semester Ke-2 Dikurangkan 15 Peratus – Menteri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yuran asrama dan yuran perkhidmatan di universiti awam bagi semester kedua sesi akademik 2019/2020 dikurangkan sehingga 15%, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.

Katanya, langkah itu melibatkan peruntukan berjumlah RM72 juta dengan RM20 juta dipersetujui secara bersama Kementerian Kewangan dan baki menerusi peruntukan dalaman universiti.

“Seramai 523,318 penuntut universiti awam di seluruh negara dijangka mendapat manfaat daripada keputusan ini,” katanya ketika sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Noraini menjawab soalan tambahan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengembalikan semula sebahagian daripada yuran yang dibayar penuntut memandangkan mereka tidak masuk ke kampus sejak Mac akibat Covid-19.

Pengurangan yuran terbabit dibuat selepas mengambil kira keluhan pelajar dan ibu bapa yang menghadapi bebanan kewangan susulan penularan Covid-19.

Sementara itu, menjawab soalan asal Shamsul mengenai kemasukan penuh penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memulakan pengajian pada Oktober, Noraini berkata IPT diberikan fleksibiliti untuk menentukan mod pembelajaran bersesuaian termasuk kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

“Namun begitu, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Pada 8 Julai, kerajaan bersetuju membenarkan kemasukan 4 lagi kategori penuntut IPT ke kampus secara berperingkat mulai bulan ini dan kemasukan sepenuhnya pada Oktober.

Bagi memastikan keputusan berkenaan dapat dilaksanakan dengan sempurna, Noraini berkata IPT dan semua penuntut hendaklah membuat persediaan yang diperlukan dari sekarang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat