10 Atlet UiTM Di Sukan SEA Diberi Insentif dan Pengecualian Yuran Pengajian

- Advertisement -

SHAH ALAM – Sepuluh atlet Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berjaya mengharumkan nama negara dan universiti itu pada Sukan SEA Hanoi bulan lalu menerima insentif daripada universiti itu hari ini.

Atlet terbabit masing-masing menerima RM750 bagi pingat perak dan RM500 bagi gangsa selain diberikan pengecualian yuran pengajian dan penginapan di asrama percuma.

Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, pencapaian 10 atlet UiTM itu menampilkan aksi terbaik apabila berjaya menyumbang empat perak dan lima gangsa kepada kontinjen negara.

Menurutnya, 10 atlet yang terdiri dari penuntut UiTM itu menyumbang pingat dalam sukan sepak takraw, petanque, tenpin boling, berbasikal, catur dan angkat berat.

“Selain insentif kepada atlet UiTM yang berjaya mewakili negara dan mendapat pingat di Sukan SEA Hanoi, UiTM turut memberikan yuran pengajian secara percuma, juga penginapan di asrama kepada mereka.

“Ini sebagai menghargai jasa dan usaha mereka mengharumkan nama negara dan juga memberikan impak kepada UiTM sebagai sebuah pusat pengajian tinggi yang memberikan fokus kepada pembangunan sukan dalam negara.

“Pengecualian yuran dan kemudahan asrama ini sepanjang pengajian mereka. Kita berharap mereka akan terus bersemangat dan aktif dalam sukan sehingga tamat pengajian kerana selepas ini ada banyak kejohanan sukan lain dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Penyerahan Insentif Atlet UiTM di Sukan Sea Hanoi dalam satu majlis di Pusat Sukan UiTM Shah Alam, di sini hari ini.

Mohd Sazili berkata, selain penuntut UiTM, dua kakitangan UiTM turut menyumbang pingat dalam sukan bina badan dan futsal malah mereka juga menerima insentif dari UiTM.

“Terima kasih kepada semua atlet UiTM yang berjaya menghasilkan pingat dan semoga insentif yang diberikan pada petang ini akan terus membakar semangat atlet untuk terus kekal cemerlang mewakili negara dalam pelbagai kejohanan yang akan datang,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau berkata UiTM menawarkan Skim Hadiah Kecemerlangan Universiti sejak 2004 bagi menghargai jasa atlet UiTM yang terdiri dari pelajar dan kakitangan yang menyumbang keringat mewakili negara dalam pelbagai kejohanan sukan antarabangsa juga tempatan.

“Di dalam perancangan strategik UiTM tahun 2020-2025, agenda sukan juga diberi penekanan dalam mencapai matlamat universiti untuk menjadi Global Renowned University (GRU) pada tahun 2025.

“Tahun ini, atlet UiTM dijangka terus beraksi di pentas dunia apabila beberapa atlet UiTM dipilih mewakili pasukan universiti Malaysia dalam kejohanan Sukan Universiti ASEAN yang akan berlangsung di Thailand pada 26 Julai hingga 6 Ogos nanti.

“Kita juga mengharapkan beberapa atlet UiTM akan juga turut tersenarai dalam kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2022 di Birmingham pada 28 Julai hingga 8 Ogos,” katanya.

Untuk rekod, seramai 22 orang penuntut serta empat kakitangan UiTM pada Sukan SEA Hanoi membabitkan sukan petanque, kayak, menembak, catur, angkat berat, futsal, bola Sepak, sepak takraw, tenpin boling, memanah, berbasikal serta bina badan. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat