Oleh Zihan Zari
RAWANG – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) terus memperkasakan sektor akuakultur negara melalui penerapan teknologi Bioflok, sejajar dengan lawatan kerja Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak ke projek ternakan ikan berteknologi bioflok di Bestari Jaya, dekat sini baru-baru ini.
Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata lawatan ke projek bioflok seperti di Rawang membuktikan bahawa teknologi ini berpotensi besar dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Adnan berkata dengan nilai pengeluaran mencecah RM15 juta bagi 1,500 tan metrik yang dihasilkan, potensi ekonomi teknologi ini tidak boleh dipandang remeh.
“Sistem ini membolehkan ternakan dilakukan dalam kepadatan tinggi di ruang tanah yang terhad, menjadikannya sangat sesuai bagi konsep pertanian bandar.
“Selain itu, ia menyokong aspek kelestarian kerana pembuangan sisa air adalah pada tahap minimum, seterusnya melindungi ekosistem sungai, ”katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan teknikal dalam memastikan kelangsungan operasi ternakan, termasuk penggunaan sistem tenaga solar hibrid dan aplikasi Internet of Things (IoT) bagi pemantauan parameter kualiti air secara masa nyata.
Dalam pada itu, sistem bioflok merupakan teknologi mesra alam berasaskan konsep ‘kitar semula’ sisa ternakan, di mana bakteria heterotrofik menukar ammonia daripada najis dan lebihan makanan kepada protein mikroba atau ‘flok’.
Flok ini seterusnya menjadi sumber makanan semula jadi kepada spesies seperti ikan tilapia, udang putih (vannamei) dan ikan keli, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada makanan komersial sehingga 20 peratus (%) hingga 30%.
Sehingga tahun 2025, teknologi bioflok telah merekodkan pencapaian memberangsangkan dengan jumlah pengeluaran sebanyak 1,500 tan metrik, dianggarkan bernilai RM15 juta berdasarkan harga purata pasaran RM10 sekilogram.
Selain itu, lebih 80 pengusaha bioflok telah direkodkan di seluruh negara dengan negeri Kedah mencatatkan bilangan tertinggi.
Ladang Bioflok Fasa 2 milik ARC Berkat Agro Food Sdn. Bhd., yang merupakan antara pengusaha tempatan yang berjaya mengaplikasikan teknologi bioflok secara komersial dalam ternakan ikan air tawar.
Kejayaan ladang itu telah menunjukkan peningkatan ketara dalam kapasiti pengeluaran ternakan bioflok daripada 12 tan metrik pada tahun 2023 kepada 144 tan metrik pada 2025.
Perkembangan ini membuktikan potensi besar teknologi bioflok dalam meningkatkan produktiviti akuakultur secara mampan.
Sepanjang lawatan, tetamu turut dibawa meninjau kemudahan tangki ternakan bioflok, menyaksikan demonstrasi tuaian hasil, serta melawat pusat pengendalian dan pemprosesan hasil akuakultur yang dilengkapi dengan mesin pembersihan sisik, pembuangan perut dan pemprosesan fillet ikan.
Bagi menyokong pertumbuhan industri ini, kerajaan melalui DOF telah menyediakan pelbagai inisiatif termasuk Geran Agropreneur Muda sehingga RM20,000.
Selain itu, Dana Keterjaminan Makanan melalui Agrobank, serta Skim Bantuan Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) bagi membantu pengusaha kecil dan sederhana.
Orang ramai yang berminat untuk menceburi bidang akuakultur digalakkan mendapatkan khidmat nasihat dan latihan di Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Jitra, Kedah yang berperanan sebagai pusat rujukan utama teknologi bioflok di Malaysia, atau melayari portal rasmi DOF di www.dof.gov.my – SUARA.TV



