Nadin Amizah luahkan emosi lagu dengan Orkestra Kecil di KL

- Advertisement -

Penyanyi dan penulis lagu tersohor dari Indonesia, Nadin Amizah, bakal kembali menemui peminat Malaysia menerusi showcase eksklusif Malam Mendengar “Nadin Amizah”, yang akan berlangsung esok, 16 Mei 2025, bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

Persembahan ini membawa makna besar buat pemilik suara unik itu, bukan sahaja kerana ia menandakan kemunculannya semula di lokasi sama selepas konsert “Selamat Ulang Tahun” tahun lalu, tetapi juga kerana kali ini Nadin tampil dengan pendekatan muzik yang lebih berani dan matang, dipersembahkan dalam format orkestra kecil yang penuh emosi dan keindahan sonik.

Saya sangat gementar dan teruja. Kali ini saya kembali dengan impian yang lebih besar – membawakan lagu-lagu saya bersama orkestra kecil, secara langsung di hadapan peminat Malaysia yang saya sangat hormati,” ujar Nadin.

Berbeza dengan persembahan sebelumnya, Malam Mendengar kali ini akan menyaksikan Nadin diiringi oleh lebih 40 pemuzik dari Jakarta, diketuai oleh pengarah muzik Lasta Pratom yang turut memainkan peranan penting dalam mencipta susunan muzik untuk konsert ini.

Walaupun tidak sebesar orkestra simfoni, orkestra kecil yang dibawa tetap menjanjikan pengalaman musikal yang intim, mendalam, dan menyentuh jiwa — sejajar dengan gaya penulisan lagu Nadin yang sering menyentuh tema cinta, kerentanan dan pencarian diri.

Saya ingin wujudkan rasa yang lembut, yang buat orang diam dan mendengar. Walaupun format asal di Jakarta membenarkan penonton baring ketika persembahan, saya percaya susunan muzik kali ini cukup kuat untuk membawa mereka ke dalam dunia saya walau hanya duduk,” katanya lagi.

Persembahan esok akan menampilkan lebih daripada 10 lagu, termasuk pilihan dari dua album terbaharunya, Untuk Dunia Cinta dan Kotornya, yang mewakili sisi Nadin yang lebih berani dan tidak berselindung.

Dulu saya tidak berani membawakan lagu-lagu dari album ini secara live. Tapi kini saya rasa sudah tiba masa untuk saya kongsikan semuanya — kerana saya percaya penonton di sini mampu mendengar dengan hati terbuka,” jelasnya.

Nadin turut menyatakan bahawa konsert ini adalah antara projek muzik terbesar dalam kerjayanya, bukan sahaja dari segi produksi dan susunan, tetapi juga dari sudut perasaan dan keberanian diri untuk menampilkan versi dirinya yang paling tulen.

Kuala Lumpur, khususnya Zepp KL, nampaknya telah menjadi tempat yang istimewa dalam perjalanan seni Nadin. Bukan hanya sebagai lokasi persembahan, tetapi sebagai ruang di mana dia berani untuk mencuba perkara baru — dan sentiasa disambut dengan sokongan padu.

Tanpa Rencana Idea, ini semua tak akan jadi kenyataan. Mereka beri saya ruang untuk menjadi diri sendiri, dan peminat di Malaysia sentiasa mendengar dengan jiwa, bukan hanya telinga,” katanya penuh emosi.

Dengan hanya sehari berbaki sebelum persembahan, keterujaan dalam kalangan peminat semakin memuncak. Tiket yang hampir habis dan kehangatan di media sosial membuktikan bahawa Malam Mendengar bukan sekadar konsert — ia adalah peristiwa seni yang membawa makna dan kenangan.

Malam Mendengar bersama Nadin Amizah akan berlangsung esok, 16 Mei 2025, di Zepp Kuala Lumpur. Persembahan bermula jam 8 malam.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat