KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan berhubung satu hantaran di media sosial yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.
MCMC dalam kenyataan pada Khamis berkata, siasatan itu dilakukan susulan beberapa aduan yang telah diterima daripada orang awam.
“Sebagai sebahagian daripada siasatan, seorang individu telah memberikan keterangan kepada pihak MCMC pada hari ini. Sebuah telefon bimbit disita bagi membantu siasatan.
“Individu lain yang berkaitan akan turut dipanggil sekiranya perlu dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.
Siasatan ini susulan, Pas Terengganu mengeluarkan poster promosi program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu yang dijadual berlangsung pada 29 hingga 31 Mei ini di Padang Astaka, Chukai, Kemaman.
Poster berkenaan memaparkan Jalur Gemilang di sebelah kiri, logo Pas di tengah dan bendera Terengganu di sebelah kanan.
Namun, warganet menegur paparan Jalur Gemilang yang salah, iaitu hanya mempunyai 11 bucu bintang kuning serta 12 jalur merah putih berselang-seli, sedangkan versi rasmi Jalur Gemilang mengandungi 14 bucu bintang dan 14 jalur yang mewakili 13 negeri serta Wilayah Persekutuan.
Susulan itu, Pas Terengganu membuat permohonan maaf secara terbuka, menyifatkan kesilapan tersebut sebagai teknikal dan tidak disengajakan, serta menarik balik penggunaan logo berkenaan.
Dalam pada itu, MCMC berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“Jalur Gemilang adalah simbol rasmi negara yang membawa nilai kedaulatan dan perpaduan. Penggunaan ilustrasi yang tidak tepat, khususnya di platform dalam talian boleh menimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti awam.
“Sehubungan itu, MCMC menyeru semua pengguna media sosial agar lebih berwaspada dan bertanggungjawab dalam menghasilkan dan memuat naik kandungan, khususnya dalam era teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan penjana kandungan digital.
“Amalan kawal selia kendiri dan semakan fakta yang teliti amat penting bagi mengelakkan penyebaran kandungan yang mengelirukan atau berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat,” kata kenyataan itu lagi.
MCMC menegaskan pihaknya akan terus komited untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pelanggaran undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu.