Kesan lecuran Faisal Halim akan ditutup dengan kulit paha dalam pembedahan keempat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kulit paha bintang sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim bakal dijadikan ‘korban’ bagi menutup kesan lecuran di badannya dalam pembedahan keempat yang dijangka berlangsung pada Isnin atau Selasa depan.

Menurut Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair, Faisal akan menjalani proses ‘split skin graft’ (SSG) di mana kulit di bahagian paha atau pinggulnya bakal diambil untuk merawat luka ekoran simbahan asid sebelum ini.

“Faisal menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan. Jadi dia akan mengharungi prosedur seterusnya pada minggu depan di mana kita akan buat SSG. Insya-Allah proses itu akan dilakukan jika tiada halangan.

“Itu (pemilihan bahagian kulit) bergantung kepada pemeriksaan pakar bedah nanti. Banyak perkara perlu diambil kira antaranya kawasan kulit yang mana yang lebih sesuai dan sihat, jadi ia diputuskan oleh pakar sendiri.

“Cuma kalau kita tengok daripada segi prosedur, selalunya diambil daripada bahagian paha. Tetapi dalam hal ini, kita serahkan pada pakar,” kata Hazwan, memetik Harian Metro pada Rabu.

Berdasarkan semakan di Internet, SSG adalah proses di mana kulit yang normal dan sihat ‘dicukur’ dengan begitu nipis dan bahagian itu digunakan bagi menutup kawasan kulit yang sudah rosak ataupun tidak boleh pulih susulan kecederaan seperti luka kebakaran ataupun abnormaliti.

Sebelum ini, Faisal atau mesra dipanggil ‘Mickey’ terpaksa mengharungi tiga pembedahan selepas diserang oleh dua inidvidu tidak dikenali yang menyimbah asid ke badannya.

Susulan itu, pemain lincah itu disahkan mengalami lecuran teruk atau lecuran tahap empat yang menyaksikan beberapa bahagian anggota badannya terutama di tangan, leher dan badan sebelah kiri mengalami luka dalam akibat asid berbahaya itu.

Selepas berjaya mengharungi pembedahan pertama dan kedua, Faisal kemudiannya mengharungi pembedahan ketiga pada Khamis lalu di mana ‘skin allograft’ atau tampalan kulit yang diimport dari Belgium bernilai lebih RM30,000 digunakan sebagai pelindung sementara.

Jelas Hazwan lagi, kegunaan ‘skin allograft’ sebelum ini menunjukkan perkembangan positif di mana pakar perubatan mendapati tiadanya tindak balas kesan asid itu terhadap ‘skin allograft’ itu.

Katanya lagi, beliau membayangkan pembedahan keempat yang bakal dilalui nanti mungkin menjadi prosedur terakhir buat Faisal.

“Berdasarkan kata dari pakar, buat sementara waktu, itulah (empat pembedahan) yang dirancang. Tiada kata lagi mengenai prosedur tambahan kerana kita kita lihat perkembangan Faisal juga. Apapun, perkembangan Faisal sangat memberangsangkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menegaskan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sentiasa mengikuti rapat perkembangan kes membabitkan bintang bola sepak negara, Faisal Halim ketika ini.

Jelas Shahril, Sultan Sharafuddin yang juga Penaung Selangor FC berhak untuk mengetahui perkembangan Faisal termasuk proses rawatan dilalui serta siasatan pihak berkuasa.

“Saya bila Tuanku Sultan dah bertitah, maknanya yang pertama Tuanku Sultan ini fokus terhadap isu ini. Saya rasa Baginda tahu apa yang perlu dilakukan. Itu hak Tuanku Sultan, hak Baginda selaku Penaung Selangor FC.

“Saya yakin Tuanku Sultan sednri telah dimaklumkan tentang perkara ini, dan Alhamdulillah Tuanku Sultan selaku Penaung banyak membantu pihak kelab,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin memberi perkenan dan menyokong penuh keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat lalu.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda bagaimanapun menzahirkan rasa kecewa kerana Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC untuk menangguhkan perlawanan itu.

Selaku penaung Selangor FC, baginda berpandangan susulan berlaku beberapa insiden mengancam nyawa yang membabitkan pemain dan pegawai bola sepak baru-baru ini, adalah bertepatan buat Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan yang juga aksi pertama Liga Super musim 2024-25.

Sultan Sharafuddin turut menekankan ia bukan sahaja mengenai isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang membabitkan pemain sayap Faisal Halim juga harus diambil kira.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat