Kak Ani undang Siti jadi tetamu VIP konsert

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas dilihat menitipkan doa buat Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika beliau menunaikan umrah akhir bulan lalu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Irama Malaysia, Noraniza Idris berhajat mengundang Siti menyaksikan konsert solonya, Oktober depan.

Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani memberitahu, dia amat berbesar hati menjadikan Siti sebagai tetamu istimewa konsert yang disifatkan cukup bermakna buat dirinya itu.

 

Noraniza atau mesra disapa Kak Ani akan menjayakan Konsert Malai Solo, Oktober depan. Foto IG Noraniza Idris

 

“Kak Ani ada hasrat ingin menjemput Siti menyaksikan Konsert Malai Solo yang bakal dijayakan, Oktober depan.

“Berikutan ini konsert solo terakhir yang Kak Ani anjurkan sendiri, jadi ada niat dalam hati untuk mengundang Siti menjadi tetamu VIP persembahan itu,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu mengulas komen berbentuk doa yang ditinggalkan pada entri rakaman ‘live’ Siti seperti yang dimuat naik akaun rasmi sebuah stesen radio hingga tular, baru-baru ini, penyanyi Awallah Dondang ini mengaku berbuat demikian kerana faham apa yang dilalui rakan duetnya lagu Hati Kama itu.

“Kak Ani cuba untuk tulis komen itu pada akaun media sosialnya, tetapi tidak berjaya. Jadi, Kak Ani cuba cari ruang lain untuk menyampaikan isi hati Kak Ani.

“Kebetulan Kak Ani baru pulang dari Makkah dan pernah melalui situasi dilalui Siti itu. Jadi, Kak Ani faham apa yang dirasakannya.

“Sebagai penyanyi nombor satu, Siti tiada privasi. Apabila dia dapat jadi diri dia sendiri pada waktu rakaman itu, Kak Ani rasa sebak. Itu yang membuatkan Kak Ani ingin mendoakannya.

“Alhamdulillah, segala apa yang Siti impikan sudah pun tercapai,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka dan Showcase Raya Che Ani Rewang Raya di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, semalam.

Melalui komen yang ditinggalkan, penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Etnik Kreatif ini mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Siti ketika menunaikan ibadat di Tanah Suci.

“Semoga selamat pergi dan balik ke Malaysia adikku… Jaga keselamatan diri sepanjang di sana. Semoga dapat mencari Lailatul Daqar di akhir Ramadan ini dan diberkati setiap urusanmu hingga mendapat umrah yang mabrur.

“Amin Ya Rabbal Alamin… Sampaikan salam kepada Rasulullah. Al-Fatihah,” coretnya.

Pada aplikasi Tik Tok, peminat kedua-dua penyanyi itu memberikan maklum balas positif terhadap doa terbabit. Mereka menyifatkan perkara itu umpama lembaran baharu dalam perhubungan dua bintang itu.

Sebelum ini, timbul isu berhubung topi dipakai Noraniza yang dikatakan meniru gaya Siti yang juga bekas juara Bintang HMI 1995 itu.

Bagaimanapun, mengulas insiden itu, Noraniza memberitahu, tidak menimbulkan sebarang provokasi dan hubungannya dengan Siti sentiasa dalam keadaan baik.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat