KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata golongan belia di negara ini memainkan peranan besar dalam pembentukan sebuah negara.
Melalui pelaksanaan Undi18, Ismail Sabri berharap belia di negara ini lebih celik dan cakna tentang sistem demokrasi berparlimen serta peranan sebagai pengundi muda dengan pelaksanaan Undi18.
Seterusnya jelasnya lagi dapat meningkatkan jati diri menjadi warganegara bertanggungjawab menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Golongan belia memainkan peranan lebih besar dalam pembentukan negara bangsa terutamanya dalam memilih pemimpin negara selaras dengan pelaksanaan Pindaan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan.
“Jumlah pengundi belia berusia antara 21 ke 40 tahun pada 2020 ialah 6.2 juta orang iaitu 40.8 peratus daripada keseluruhan 15.3 juta pengundi berdaftar,
“Pada 12 Mac 2022, negara mencipta sejarah baharu apabila golongan belia julung kalinya diberi hak dan mandat untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor, yang mencatat peningkatan kira-kira 28 peratus pengundi dengan penambahan hampir 750,000 pengundi berusia 18 tahun ke atas daripada keseluruhan 2.6 juta pengundi berdaftar susulan pendaftaran automatik Undi18,” katanya dalam perutusan sempena Hari Belia Negara 2022 bertemakan ‘Ini Masa Kita’.
Penglibatan anak muda yang dilihat semakin meningkat dalam arena politik negara merupakan petanda positif serta perlu dikembangkan lebih meluas.
“Belia perlu mengambil tahu dan sedar penguatkuasaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang melibatkan penurunan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun.
“Pelaksanaan pindaan akta tersebut dapat meramaikan lagi pemimpin dikalangan belia berumur di bawah 30 tahun, seterusnya dapat memberi ruang kepada golongan belia untuk mengasah bakat kepimpinan dan mencari pengalaman sebanyak mungkin menerusi ruang yang ditinggalkan.” katanya. -SuaratV