KUALA LUMPUR -PETRONAS mengesahkan bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesennya di seluruh negara adalah terjamin sehingga akhir Jun 2026, lanjutan daripada unjuran terdahulu iaitu hingga akhir Mei 2026.
Syarikat minyak nasional itu dalam satu kenyataan berkata, ia akan terus mengurus rantaian bekalannya secara aktif bagi memastikan stok mencukupi di semua stesen dalam keadaan krisis tenaga global semasa yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.
PETRONAS membekalkan kira-kira 50 peratus keperluan bahan api negara melalui anak syarikat tersenarai awamnya, Petronas Dagangan Berhad. Baki bekalan disediakan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
PETRONAS menegaskan komitmennya untuk memastikan bekalan bahan api yang stabil dan boleh dipercayai kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Orang ramai digalakkan membeli bahan api secara berhemah mengikut keperluan harian dan mengelakkan pembelian berlebihan atau panik.
“Penggunaan secara bertanggungjawab akan membantu memastikan bekalan terus mencukupi untuk semua,” kata kenyataan itu.



