Zamani teruja jumpa peminat di Melaka

- Advertisement -

Melaka: Ketika semua lapisan masyarakat terkesan dengan pandemik Covid-19, penyanyi popular, Zamani Slam mengakui terpaksa menggunakan wang simpanan untuk mengubati penyakit tulang belakang melengkung selain menampung keperluan hidupnya pada saat getir ini.

Namun, dia bersyukur apabila sebaik kerajaan membenarkan persembahan dilakukan, dia dihubungi rakan sekolah lamanya, Datuk Rosthman Ibrahim untuk mengadakan persembahan Ihya’ Nurani Kasih Ramadan pada 1 Mei ini di Hotel LaCrista Melaka.

Menurutnya, dalam program bertujuan mengimarahkan kasih sayang ketika menjalani ibadah puasa itu, dia bakal diiringi The Sibling’s Band yang dianggotai enam adik beradik.

“Aktiviti disusun termasuk tazkirah, doa, berbuka puasa, solat fardu, tarawih serta moreh itu bakal menyaksikan saya menyampaikan 12 lagu termasuk lagu popular bersama Slam.

“Ihya Nurani Kasih Ramadan ini permulaan atau pemanas badan sebelum persembahan saya bersama Slam pada hujung tahun ini, selepas perancangan yang dijadualkan pada Januari lalu terpaksa ditangguhkan.

“Persembahan terbabit bakal diadakan di KLCC, Kuala Lumpur sempena 25 tahun kumpulan Slam. Jadi, semua peminat dijemput untuk menyaksikan saya dan The Sibling’s pada 1 Mei depan,” katanya pada sidang media, semalam.

Harga tiket untuk persembahan itu bermula RM250 seorang selain jualan meja antara RM3,000 hingga RM5,000 yang bakal dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat penganjur.

Pada masa sama, Zamani yang berasal dari Simpang Empat, Alor Gajah enggan membesarkan isu penyakit skoliosis atau tulang belakang melengkung dihidapi kini, sambil mengharapkan peminat sentiasa mendoakan kesihatannya.

“Semua sedia maklum dan nampak keadaan fizikal saya yang membongkok. Selagi tidak mengganggu gugat kerjaya, saya akan terus menyanyi walaupun tidak secergas dahulu.

“Pada masa sama saya tetap berubat, jangan sampai tak boleh bekerja, namun setakat ini saya masih terus bertahan.

“Peminat jangan susah hati dengan apa yang saya alami. Buat masa ini saya tetap berusaha untuk berubat dan kini menggunakan katil khas dihadiahkan pihak prihatin.

“Setakat ini saya cuba dahulu dan terdapat perubahan positif,” katanya.

PENGARAH Urusan LaCrista Hotel, Datuk Rosthman Ibrahim. FOTO SYAFEEQ AHMAD
PENGARAH Urusan LaCrista Hotel, Datuk Rosthman Ibrahim. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Zamani berkata, dia merancang untuk pulang ke kampung isterinya di Terengganu pada Syawal ini selepas hanya beraya di Kuala Lumpur, tahun lalu.

Malah, katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu menyebabkan dia hanya beraya di rumah sahaja dan jika dibenarkan merentas negeri kali ini, bermakna Aidilfitri ini dia akan pulang ke Terengganu.

Sementara itu, Rosthman yang juga Pengarah Urusan LaCrista Hotel berkata, dia terpanggil untuk menjemput Zamani mengadakan persembahan sebagai penghargaan kepada rakan sekolahnya di Sekolah Teknik Tuanku Ja’afar Seremban itu.

Beliau berkata, ia sebagai usaha merancakkan semula perniagaannya selepas amat terkesan dengan pandemik Covid-19 termasuk tiada sebarang aktiviti, tahun lalu.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat