JMG tidak menerima permohonan ulasan teknikal untuk Gua Lepak, Batu Caves – KP JMG

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Isu kewujudan Restoran Gua Lepak, Bukit Batu Caves di Taman Industri Bolton, Gombak, Selangor yang terletak di dalam gua batu kapur telah ditimbulkan beberapa kali di dalam media tempatan.

Antara yang diutarakan ialah isu keselamatan pengunjung premis, risiko berlaku bencana geologi, pemuliharaan fosil di tapak, status kebenaran operasi restoran, risiko vandalisme dan gangguan biodiversiti endemik.

Demikian menurut kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk P.Geol. Zamri Ramli pada Khamis.

Selain itu, isu pemuliharaan dan kelestarian terhadap geotapak juga merupakan sebahagian daripada Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp).

Menurut kenyataan itu, sehingga kini, pihak JMG tidak menerima sebarang permohonan daripada pengusaha perniagaan mahupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengulas aspek teknikal akan cadangan aktiviti perniagaan mahupun sebarang aktiviti yang telah pun dijalankan di dalam gua tersebut.

Menurutnya lagi, mengikut prosedur yang diamalkan dalam cadangan pembangunan fizikal, pihak pemaju perlu membuat permohonan pemajuan kawasan tersebut kepada PBT.

PBT perlu memohon ulasan teknikal bagi permohonan cadangan pemajuan kepada JMG yang merupakan salah satu daripada Agensi Teknikal Negeri.

“Sebarang pembangunan perlu merujuk kepada garis panduan penentuan zon bahaya di sekitar bukit batu kapur yang dikeluarkan oleh JMG untuk menentukan zon keselamatan di sekitar kawasan tersebut.

“Dalam konteks pembangunan geopark, kesejahteraan masyarakat dan penjanaan ekonomi masyarakat setempat adalah merupakan salah satu elemen yang dapat menambah nilai kepada sesuatu geopark,

“Walau bagaimanapun, aktiviti tambah nilai ini perlulah selari dengan konsep pembangunan geopark yang melibatkan tiga elemen penting iaitu pemuliharaan, pendidikan serta pembangunan secara lestari,” ujarnya.

JMG menyarankan agar Pelan Pembangunan Geopark Negara (PPGN 2021-2030) dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara (PLGN) yang telah diputuskan untuk dipakai ketika Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke 42 diterjemahkan dalam setiap pembangunan geopark, ”ujarnya lagi. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat