Dominasi naskhah berat

- Advertisement -

TEMA berat mengenai hubungan sesama jenis yang berani diketengahkan dalam drama bersiri 28 episod, Suamiku Lelaki Pendosa terbitan Global Station Sdn Bhd (Global Station) yang pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini, berjaya diangkat sebagai Drama Terbaik pada Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023 yang bersiaran secara langsung di TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Ahad lalu.

Drama Suamiku Lelaki Pendosa juga menyapu bersih empat kategori pada TADS 2023 iaitu Pengarah Terbaik menerusi Eyra Rahman, Pelakon Lelaki Terbaik (Datuk Aaron Aziz) dan Pelakon Antagonis Terbaik (Gambit Saifullah).

Penerbit Eksekutif Global Station, Alia Ramli berkata, dia juga tidak menjangka Drama Suamiku Lelaki Pendosa itu diangkat sebagai Drama Terbaik pada TADS 2023.

“Alhamdulillah, saya dan pasukan produksi drama ini gembira dan bersyukur dengan kemenangan drama ini.

“Saya juga tidak jangka kemenangan pada malam ini kerana hadir untuk memberi sokongan pada rakan-rakan penerbit lain yang turut dicalonkan, sekali gus memberi sokongan pada anugerah ini,” katanya.

Mengenai kekuatan naskhah itu, kata Alia, ia adalah kisah berat dengan garapan yang sangat bagus dari pengarahnya, Eyra.

“Kami memang ada berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mendapat rujukan dari ustaz untuk menerbitkan drama yang dianggap kontroversi, tetapi berlaku dalam masyarakat.

“Ia bukan sekadar cerita berat, tetapi ada mesej yang mahu disampaikan pada penonton.

“Ia bukan memaparkan cerita yang menindas golongan tertentu, tapi untuk menegur mereka dengan cara baik kerana semua pendosa ada peluang bertaubat dan mendapat bantuan,” katanya.

Sebagai penerbit, Alia berkata, pihaknya juga sedar perlu ada cara betul untuk memaparkan pada penonton kerana drama ini ditayangkan di TV dan ditonton semua golongan masyarakat.

“Kami perlu menjaga sensitiviti dari segi agama dan untuk tontonan kanak-kanak di rumah.

“Kami juga sudah berbincang dengan penulis skrip dan sudah ada ‘guide line’ dari awal lagi apa yang boleh buat untuk buat cerita ini ketika proses penggambaran.

“Ada juga beberapa babak yang terpaksa dipotong kerana tidak sesuai, tapi tidak banyak,” katanya.

Ditanya pemilihan barisan pelakon utama pula, kata Alia, dia sudah ada senarai pelakon yang sesuai untuk drama itu dari awal lagi.

“Saya baca novel ini dan suka dengan watak Izfairin itu untuk dilakonkan Aaron. Saya juga bertemu Aaron untuk menawarkannya watak utama dalam drama itu.

“Pada mulanya, Aaron menolak untuk watak Izfairin yang dilakonkan Gambit itu. Namun, dia bersetuju melakonkan watak suami iaitu Dean Ilyas.

“Gambit pula menyukai watak Izfairin yang diserahkan padanya,” kata Alia yang bakal tampil dengan karya berbeza selaras dengan 25 tahun Global Station terbabit dalam industri seni tanah air.

Drama bersiri 28 episod yang diadaptasi daripada novel Imamku Lelaki Pendosa karya Umie Nadzimah ini ditulis skripnya oleh Eenaz Mokhtar, Siti Jasmina dan Ctna Marzuki.

Selain Aaron dan Gambit, drama Suamiku Lelaki Pendosa menampilkan Sophia Albarakbah, Shima Anuar, Fauzi Nawawi, Aleza Shadan, Maria Farida, Edika Yusof, Hafeez Mikail, Anne Abdullah, Michael Lean dan ramai lagi.

Sebanyak 15 kategori dipertandingkan membabitkan 10 kategori terbaik dan lima kategori popular pada edisi kedua TADS 2023.

Manakala, kategori Penulis Skrip Terbaik dimenangi Wan Mahani Wan Hassan & Maizura Mohd Ederis (Drama Ayahanda). Global Station juga menang kategori Drama Popular menerusi Bisik-Bisik Gelora.

Selain itu, kategori Pelakon Wanita Terbaik dimenangi Ummi Nazeera (Risik Pada Hati), Pelakon Lelaki Popular dimenangi Redza Rosli (drama Kekasih Hati Mr Bodyguard, Pelakon Wanita Popular dimenangi Anna Jobling (Melur Untuk Firdaus) dan Pasangan Drama Terbaik (Anna Jobling dan Meerqeen).

Tidak ketinggalan, kategori OST Terbaik dimenangi Nafas Cinta (Khai Bahar dan Aina Abdul), Drama Novel Adaptasi Terbaik (Melur Untuk Firdaus), Anugerah BBNU Tonton (Aniq Suhair), Drama 8TV Terbaik (My Dream My Wish) dan Oppa Pilihan Tonton dengan kerjasama tvN dimenangi Cha Eun Woo (True Beauty).

Acara pada malam itu disemarakkan lagi dengan persembahan mantap dari barisan artis popular tanah air seperti Zaki dan Yamani, Stacy, Mimi Fly, Liza Hanim, Misha Omar, Bella Astillah, Wani Kayrie, Ayda Jebat, Fyna Jebat, Haqiem Rusli, Afieq Shazwan, Amir Masdi, Rahmat Mega dan Hael Husaini.

TADS 2023 dikendalikan gandingan Sherry Al Hadad dan Sharifah Shahirah.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat