Sahih Muslim kitab hadis kedua paling sahih

- Advertisement -

Pernah diperkenalkan sebelum ini mengenai kota Naisabur (kini di Iran) sebagai pusat kegiatan ilmu yang cukup masyhur dalam kalangan Ahlus Sunnah Waljamaah sejak kurun ke-3 Hijrah setanding dengan kota Baghdad dan kota Dimasyq.

Antara tokoh penting daripadanya kali ini ialah pengarang kitab Sahih Muslim iaitu Imam Muslim. Nama penuh beliau ialah Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim bin Ward al-Qusyairi al-Naisaburi.

Beliau dilahirkan di Naisabur pada 206H. Imam az-Zahabi menyatakan, beliau mula belajar hadis pada 218H ketika berusia 12 tahun dengan Yahya bin Yahya at-Tamimi. Kemudian semasa menunaikan haji pada 220H, beliau sempat berguru dengan Abdullah bin Maslamah al-Qa’nabi di Makkah. Semasa pulang melalui Kufah, beliau mendengar pula hadis daripada Ahmad bin Yunus dan selainnya.

Kecintaannya kepada ilmu membawa beliau merantau jauh ke pelbagai tempat seperti Khurasan, Ray, Mesir, Hijaz dan Iraq. Beliau juga berkali-kali berkunjung ke Baghdad dan kunjungan kali terakhir pada 259H.

Lantaran itu, beliau dapat mempelajari hadis daripada ramai guru seperti Muhammad bin Mihran, Said bin Mansur, Ahmad bin Hanbal, Amr bin Sawad, Harmalah bin Yahya, Ishaq bin Rahuyah, Abu Hatim ar-Razi, Abu Zur’ah ar-Razi, ad-Darimi, Abu Bakar bin Abi Syaibah, Abu Khaithamah Zuhair bin Harb, Muhammad bin al-Muthanna, Qutaibah bin Said, Muhammad bin Abdillah bin Numair dan Muhammad bin Basysyar.

Ramai guru Imam Muslim juga guru kepada Imam al-Bukhari. Ketika Imam al-Bukhari berkunjung ke Naisabur, beliau mengambil kesempatan berguru dengannya. Kata Imam Muslim kepada Imam al-Bukhari: “Biarkanlah aku mencium kakimu, wahai ustaz bagi segala ustaz, penghulu ahli hadis dan tabib hadis yang mahir tentang ‘ilal-nya (kecacatannya).”

Kecerdasan dan kekuatan ingatan Imam Muslim dipuji dan dikagumi oleh ramai ulama termasuk gurunya sendiri. Kata Ahmad bin Salamah: “Aku melihat Abu Zur’ah dan Abu Hatim mendahulukan Muslim ke atas semua syeikh pada zaman mereka dalam hal mengenal hadis sahih.”

Gurunya yang lain, Muhammad bin Basysyar berkata: “Ada empat orang huffaz (yang hafalan hadisnya paling hebat) di dunia ini iaitu Abu Zur’ah di Ray, Muslim di Naisabur, Abdullah ad-Darimi di Samarkand dan Muhammad bin Ismail di Bukhara.”

Dalam mengungkapkan ketokohannya, Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menyimpulkan: “Ulama bersepakat mengenai keagungan dan keimamannya serta kedudukannya yang besar dan martabatnya yang cukup tinggi.”

Imam Muslim mengarang banyak kitab dan yang paling terkenal ialah Sahih Muslim yang juga kitab hadis paling sahih dalam Islam setelah al-Quran al-Karim dan Sahih al-Bukhari.

Dalam menyusunnya, beliau mensyaratkan cukup dengan kemungkinan bertemu antara dua perawi thiqah (dipercayai) yang hidup sezaman dan bebas daripada sebarang kecurigaan. Ini kerana meyakini sifat orang Mukmin yang soleh dan jujur sudah memadai untuk diterima khabar beritanya. Berbeza dengan gurunya, Imam al-Bukhari yang mensyaratkan mesti ada bukti pertemuan antara dua perawi secara bersemuka agar dapat diyakini sanadnya benar-benar bersambung.

Imam Muslim menghabiskan kira-kira 15 tahun untuk menyelesaikan kitab ini. Beliau mula menulisnya pada 235H dan selesai pada 250H. Hadisnya dipilih daripada 300,000 hadis yang dihafalnya termasuk athar sahabat dan tabiin.

Hadis yang tercatat di dalam Sahihnya berjumlah sekitar 7,666 hadis, termasuk yang berulang dan sebanyak 3,033 hadis tanpa pengulangan. Semua hadisnya diterima daripada 220 syeikh dan disusun mengikut bab masing-masing secara terkumpul tanpa dipisah-pisahkan.

Antara karya beliau yang lain ialah al-Musnad al-Kabir, kitab al-Jami’, kitab al-‘llal, Auham al-Muhaddithin, kitab at-Tamyiz, al-Asma’ wa al-Kuna, kitab at-Tabaqat, kitab al-Mukhadramin, Afrad as-Syamiyyin, Aulad as-Sahabah, kitab al-Aqran, al-Intifa’ bi Uhub as-Siba’ dan al-Munfaridat wa al-Wuhdan.

Antara muridnya yang terkenal ialah Ibn Abi Hatim ar-Razi, Ahmad bin Salamah, Ibrahim bin Abi Talib, Abu Amr al-Khaffaf, Husain bin Muhammad al-Qabbani, Ahmad bin al-Mubarak al-Mustamli, Salih bin Muhammad, Ali bin Hasan al-Hilali, Muhammad bin Abd al-Wahab al-Farra’, Ali bin al-Husain bin al-Junaid, at-Tirmizi dan Ibnu Khuzaimah.

Walaupun Imam Muslim seorang ulama besar, beliau juga seorang peniaga. Beliau berniaga pakaian dan turut mempunyai hartanah yang menjana sumber sara hidupnya, kerana itu beliau turut terkenal sebagai seorang dermawan.

Imam Muslim meninggal dunia pada Rejab 261H di kota Naisabur pada usia 55 tahun.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat