Kerajaan Serah Kepada SPR Tentukan Pelaksanaan Undi 18 – Takiyuddin

- Advertisement -

ALOR SETAR: Keputusan untuk menentukan bahawa Malaysia sudah bersedia untuk melaksanakan dasar Undi 18 pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya boleh diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan tanggungjawab kerajaan telah ditunaikan sebaik sahaja Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 telah diluluskan di Parlimen.

Jelasnya, sebarang urusan lanjut berkaitan perkara atau pindaan terbabit hanya akan dilaksanakan SPR.

“Itu adalah perancangan kerajaan terdahulu, apabila membuat pindaan terhadap artikel 47 mengenai umur calon, dan artikel 119 mengenai umur minimum layak mengundi, apabila sudah dipinda perlembagaan jadi perkara itu (diluluskan dalam Parlimen).

“Jadi sekarang ini, SPR perlu jelaskan sama ada mereka telah ambil tindakan dan melaporkan (kepada umum mengenai perkembangan berkenaan).

“Ini bukan urusan kerajaan, walaupun SPR ini satu jabatan, tetapi ia satu suruhanjaya bebas, dan mereka yang akan ambil tindakan berhubung dengan apa-apa pindaan undang-undang berkaitan mereka (termasuk perkembangan Undi 18). Jadi, elok dikemukan (soalan) kepada SPR untuk mendapat penjelasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin peringkat Negeri Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit, Alor Setar, pada Ahad.

Terdahulu, pada 10 Mac lalu, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menyatakan bahawa kelayakan mengundi pada PRU-15 pada usia minimum 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Jelas beliau, ini kerana, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

Takiyuddin pada November tahun lalu, turut menyatakan bahawa kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.

Dengan kelulusan itu, jelas beliau, PRU15 akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding had usia minimum 21 tahun sebelum ini.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan.

Rang Undang-Undang berkenaan juga diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga pada 25 Julai pada tahun yang sama.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat