LOS ANGELES: Megan Thee Stallion muncul penyanyi rap wanita pertama meraih trofi Artis Baharu Terbaik pada Anugerah Grammy 2021 yang dikendalikan pengacara The Daily Show, Trevor Noah, dalam norma baharu, pagi tadi, waktu Malaysia.
Kali pertama merangkul trofi emas itu, kemenangan penyanyi berasal dari Houston itu bagai sudah dijangka.
Megan turut merangkul trofi Persembahan Rap Terbaik menerusi lagu Savage, dalam pengumuman yang dibuat awal.
Selain Persembahan Rap Terbaik, Savage turut dicalonkan dalam dua kategori lain iaitu Lagu Rap Terbaik dan Rekod Terbaik.

“Saya tidak mahu menangis. Ini adalah tahun yang teruk, namun kita berjaya melaluinya,” katanya dengan air mata yang bergenang, lapor agensi.
Megan mula menghasilkan lagu campuran melalui aplikasi SoundCloud ketika masih menuntut di kolej pada 2016.
Pada 2019, single nyanyiannya Hot Girl Summer dan Cash menjadi antara lagu yang mendapat putaran kerap di radio.
Sementara itu, Beyonce yang mendahului Anugerah Grammy 2021 dengan sembilan pencalonan, memenangi anugerah pertama dalam kategori Muzik Video Terbaik untuk lagu Brown Skin Girl.
Lebih menarik, lagu itu turut menampilkan anaknya bersama penyanyi rap, Jay-Z, Blue Ivy Carter yang berusia sembilan tahun.
Sehubungan itu, Ivy menjadi calon kedua termuda memenangi anugerah berprestij itu.
Brown Skin Girl yang dilancarkan pada Ogos lalu, beberapa minggu selepas kemunculan album Beyonce, Black Is King.
Muzik video Brown Skin Girl arahan Jenn Nkiru itu turut menampilkan beberapa selebriti kulit hitam iaitu Kelly Rowland, Lupita Nyong’o dan Namoi Campbell.
Penyanyi yang kerap tampil dengan fesyen esentrik, Billie Eilish yang menang besar tahun lalu, membawa pulang trofi bagi kategori Lagu Dalam Bentuk Visual Media Terbaik menerusi No Time To Die yang didendangkan untuk filem James Bond terbaru.
Sementara itu, impian kumpulan dari Korea Selatan, BTS untuk melakar sejarah sebagai artis K-pop pertama menerima trofi Anugerah Grammy tidak kesampaian apabila tewas di tangan Lady Gaga dan Ariana Grande.
Lady Gaga yang bekerjasama dengan Ariana menerusi lagu Rain On Me mengungguli kategori Persembahan Pop Duo & Berkumpulan Terbaik.
Berikutan pandemik COVID-19, BTS hanya membuat persembahan yang dirakam terlebih dahulu di Korea Selatan dan dipancarkan secara langsung.
Sementara itu, baik Lady Gaga atau Ariana, masing-masing tidak kelihatan untuk menerima trofi kemenangan.
Lady Gaga difahamkan berada di Milan, Itali kerana menjayakan filem arahan Ridley Scott berjudul Gucci.
Sementara Ariana ang dilihat bersama tunangnya, Dalton Gomez di Santa Monica, California, pada 6 Mac lalu, tidak kelihatan pada segmen karpet merah, lapor agensi.
Namun, Ariana membuat ciapan di Twitter sejurus keputusan diumumkan.
“Terlalu beruntung dengan pengalaman ini. Dapat menjadi sebahagian daripada lagu ini dan sama-sama meraikan pemulihan.
“Saya juga dapat menari dalam hujan, memanggil kamu sebagai teman dan kini berkongsi kemenangan.
“Tahniah permaisuri (Lady Gaga) dan terlalu beruntung,” luahnya.
Tahun ini, Grande hanya tercalon dalam satu kategori bersama Lady Gaga. Albumnya, Positions yang dilancarkan pada Oktober lalu, tidak sempat dicalonkan kali ini. –
AGENSI