‘Fun ride’ Zuraida patuh SOP – penganjur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Aktiviti ‘fun ride’ di Taman Persekutuan Bukit Kiara yang melibatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), demikian kata penganjur.

Jabatan Landskap Negara dalam satu kenyataan hari ini menafikan laporan media bahawa program itu melanggar SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mengikut SOP am PKPB bertarikh 5 Mac 2021 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), aktiviti berjogging dan berbasikal adalah dibenarkan.

“Aktiviti berbasikal yang berlangsung semalam bukanlah aktiviti ‘Fun Ride’ di mana ia tidak dibuka kepada orang awam dan bukanlah berbentuk kejohanan ataupun pertandingan dengan kehadiran penonton.

“Pengunjung berbasikal adalah seramai 30 orang terdiri daripada kakitangan Jabatan Landskap Negara (JLN) dan SWCORP. Pengunjung berbasikal juga turut menjalankan aktiviti ‘Plogging’ bersesuaian dengan peranan agensi dalam pembersihan awam,” kata penganjur, hari ini.

Sebelum ini, dua peguam dan seorang Ahli Parlimen menggesa pihak berkuasa membuat siasatan bebas terhadap Zuraida kerana didakwa melanggar perintah kawalan pergerakan berkaitan acara ‘fun ride.’

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, A Srimurugan dan Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, wujud dwistandard dalam penguatkuasaan SOP, terutama apabila melibatkan menteri Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, penganjur turut memberi alasan bahawa pengunjung berbasikal telah diambil suhu tubuh sebelum  memasuki taman tersebut.

“Pelepasan basikal ini adalah bertujuan untuk mempromosikan amalan berbasikal norma baharu dengan sentiasa memastikan penjarakan sosial, memastikan kebersihan diri dan tidak berkongsi peralatan serta sentiasa memastikan keselamatan ketika berbasikal.

“Dalam program ini terdapat juga aktiviti senaman berlangsung di mana penjarakan fizikal diadakan dengan menandakan jarak 3 meter setiap individu untuk menjalankan aktiviti rekreasi dan kekal di tempat yang ditandakan untuk acara seterusnya,” katanya.

Pada Ahad lalu, Zuraida menerusi Facebooknya berkongsi gambar beliau melepaskan kayuhan basikal dalam Program Malaysia Prihatin Norma Baharu Berekreasi di Zon Rekreasi Keluarga Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Rata-rata perkongsian Ahli Parlimen Ampang itu mendapat kecaman warganet kerana didakwa tidak mematuhi SOP PKPB.

Malah mereka turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk mengeluarkan kompaun RM10,000 seperti dikenakan terhadap rakyat biasa sebelum ini. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat