ALOR SETAR, – Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Muhamad Mat Yakim menyelar tindakan sebuah media berbahasa Cina yang disifatkan tidak profesional kerana menyiarkan dakwaan tidak berasas mengenai kedudukan Menteri Besar Kedah.
Beliau menegaskan dakwaan kononnya Muhammad Sanusi akan digulingkan oleh seorang Exco daripada Bersatu dengan sokongan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS adalah tidak benar dan langsung tidak masuk akal.
“Semalam bertalu-talu mesej masuk tanya sama ada benar MB Sanusi akan ‘digulingkan’. Kepada yang bertanya, saya jawab begini: soalan ini tak sepatutnya ditanya kerana jelas tak masuk akal langsung,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Menurutnya, dakwaan tersebut hanyalah fitnah yang tular tanpa sebarang asas, namun tetap dipercayai dan disebarkan oleh sesetengah pihak.
Muhamad berkata, beliau sengaja tidak menamakan Exco yang dikaitkan bagi mengelakkan fitnah tersebut terus diperbesarkan, sambil menegaskan hubungan antara pemimpin terbabit dan Menteri Besar kekal baik.
Beliau turut menegaskan bahawa semua ADUN PAS dan Bersatu di Kedah kekal setia di bawah kepimpinan Muhammad Sanusi sebagai Ketua Kerajaan Negeri.
“Walau siapa pun mereka, saya tahu mereka kesemuanya taat di bawah kepimpinan MB Sanusi sebagai ketua kerajaan negeri,” katanya.
Dalam masa sama, beliau membidas tindakan sebuah akhbar berbahasa Cina yang menurutnya menyiarkan dakwaan tular tersebut tanpa membuat semakan sewajarnya, termasuk memaparkan ayat “Goodbye Sanusi”.
“Saya pernah berada dalam media selama 25 tahun dan hampir tiga tahun sebagai pengajar kewartawanan. Ini sesuatu yang cukup ironi bagi saya.
“Bukan tidak boleh menyiarkan info yang tular tetapi ada caranya, iaitu tentukan apa yang auta dan apa pula faktanya. Bukan dengan menyogok auta untuk diterima oleh masyarakat sebagai fakta,” katanya.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak profesional dan menegaskan bahawa spekulasi berkenaan adalah cubaan mencetuskan persepsi negatif terhadap kestabilan politik Kedah.
Spekulasi mengenai kedudukan Menteri Besar Kedah itu mula tular di media sosial sejak semalam, namun tiada sebarang perkembangan rasmi yang menunjukkan berlaku perubahan kepimpinan dalam kerajaan negeri.



