KOTA KINABALU, – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mencadangkan supaya semua projek kerajaan Persekutuan atau projek yang dibiayai oleh Persekutuan di Sabah mewajibkan pendaftaran dengan Persatuan Kontraktor Bumiputera Sabah (PUKONSA) bagi memastikan penglibatan lebih besar pemain industri tempatan.
Menurut beliau, terdapat rungutan berterusan bahawa projek Persekutuan di Sabah tidak memberi ruang yang seimbang kepada kontraktor, subkontraktor dan konsultan tempatan, sekali gus menjejaskan pembangunan ekosistem industri negeri.
Katanya, langkah menjadikan pendaftaran PUKONSA sebagai syarat asas bukan bertujuan menutup peluang kepada syarikat luar, sebaliknya bagi memastikan sistem dan keutamaan tempatan dihormati.
“Jika sesuatu projek dibuat di Sabah dan memberi kesan kepada ekonomi Sabah, maka adalah wajar semua yang terlibat berdaftar dengan PUKONSA,” katanya dalam satu kenyataan.
Salleh berkata, pendekatan itu akan membantu memastikan lebih ramai kontraktor, subkontraktor dan konsultan dari Sabah mendapat peluang yang adil dan terjamin dalam pelaksanaan projek pembangunan di negeri tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa PUKONSA perlu melalui proses penambahbaikan menyeluruh supaya kekal relevan dengan perubahan semasa, termasuk memperluaskan peranannya dalam pembangunan vendor tempatan.
Menurutnya, PUKONSA tidak seharusnya berfungsi sekadar sebagai badan pendaftaran, tetapi juga memainkan peranan dalam menilai prestasi kontraktor serta membantu membangunkan keupayaan industri tempatan.
“Dengan sistem yang lebih moden dan autoriti yang jelas, PUKONSA boleh menjadi platform yang lebih berkesan untuk membina kekuatan industri Sabah,” katanya.
Salleh menambah, dasar pembangunan yang dilaksanakan di Sabah perlu memberi keutamaan kepada pembinaan kapasiti anak negeri di semua peringkat bagi memastikan manfaat ekonomi jangka panjang dapat dinikmati oleh rakyat tempatan.
Kenyataan itu dilihat selari dengan usaha memperkukuh penyertaan industri tempatan dalam projek pembangunan berskala besar, khususnya projek infrastruktur yang dibiayai oleh kerajaan Persekutuan di Sabah.



