KUALA LUMPUR, – Dakwaan kononnya beberapa bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terbubar susulan peletakan jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) disifatkan sebagai tidak tepat dan hanya bersifat propaganda, kata bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Saifuddin Abdullah, Mujahiddin Zulkifli.
Mujahiddin, yang juga mantan Setiausaha Bahagian BERSATU Indera Mahkota, berkata sesuatu bahagian tidak terbubar secara automatik walaupun keseluruhan AJK meletakkan jawatan atau mengumumkan pembubaran.
Menurut beliau, berdasarkan perlembagaan parti, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mempunyai kuasa untuk memulihkan semula struktur kepimpinan bahagian melalui persidangan khas.
“Kalau seluruh AJK Bahagian itu letak jawatan dan umum pembubaran sekalipun, bahagian itu tidak terbubar secara automatik. Mengikut perlembagaan parti, sekiranya kesemua AJK Bahagian meletakkan jawatan, Majlis Pimpinan Tertinggi akan mengadakan Persidangan Khas Bahagian untuk menubuh semula Jawatankuasa Bahagian,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Beliau menjelaskan bahawa tindakan peletakan jawatan secara beramai-ramai tidak menamatkan kewujudan sesebuah bahagian, sebaliknya hanya mewujudkan kekosongan kepimpinan yang boleh diisi semula melalui mekanisme parti.
“Jadi segala langkah membubarkan bahagian dengan perletakan jawatan AJK Bahagian hanyalah propaganda semata-mata. Ahli-ahli biasa pun ramai yang tidak tahu perlembagaan parti jadi tak perlu percaya propaganda sangat pun,” katanya.
Mujahiddin turut menegaskan bahawa kenyataan beliau dibuat atas kapasiti peribadi dan bukan mewakili mana-mana kem atau kepimpinan parti.
Beliau juga menggesa pengamal media supaya menyemak perlembagaan parti terlebih dahulu sebelum membuat laporan mengenai pembubaran mana-mana bahagian bagi mengelakkan kekeliruan dan tindakan undang-undang.
“Pesan aku kepada kawan-kawan media, nak lapor pembubaran bahagian atau cabang mana-mana parti sekalipun eloklah check perlembagaan parti terlebih dahulu,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Mujahiddin turut mendakwa beliau sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap BERSATU berhubung isu hutang lama yang menurutnya masih belum diselesaikan, dan berharap perkara itu dapat diselesaikan secara baik.
Kenyataan tersebut muncul ketika BERSATU berdepan kemelut dalaman susulan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin kanan parti, termasuk pemecatan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, serta beberapa pemimpin lain baru-baru ini.



