CYBERJAYA : Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, membidas reaksi tiga sayap pemuda Pakatan Harapan (PH) Melaka yang sebelum ini mempersoalkan keikhlasan dan hala tuju politik beliau.
Dalam satu kenyataan balas, Dr Akmal berkata kenyataannya sebelum ini hanya menyentuh mengenai UMNO dan PAS, tanpa merujuk kepada PH. Namun, menurutnya, reaksi yang timbul menunjukkan seolah-olah gabungan itu berasa terancam.
“Ni satu lagi geng yang kepanasan. Kita bercakap tentang UMNO dan PAS, sikit pun tak bercakap tentang parti korang. Tapi PH pula yang kepanasan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kebimbangan pihak tertentu terhadap usaha penyatuan Melayu Islam.
“Apa yang ditakutkan bila Melayu Islam bersatu?” soalnya.
Menurut Dr Akmal, usaha menyatupadukan ummah bukan sesuatu yang mudah dan sentiasa berdepan tentangan sejak dahulu lagi. Bagaimanapun, beliau menegaskan cabaran tersebut tidak akan melemahkan semangat pihaknya.
“Tapi itulah cabaran menyatupadukan ummah ini bukan mudah, akan ada golongan yang menentang sejak dari zaman dahulu lagi,” katanya lagi.
Dalam nada sinis, beliau turut menyatakan PH tidak perlu bimbang dan boleh terus berdepan secara terbuka dalam gelanggang politik.
“Jangan risau ya geng PH, lawan jer apa yang nak ditakutkan,” ujarnya.
Sebelum ini, tiga sayap pemuda PH Melaka dilaporkan mempersoalkan keikhlasan serta hala tuju politik Dr Akmal susulan kenyataannya berkaitan kerjasama UMNO dan PAS.
Perang kenyataan antara kedua-dua pihak itu dijangka terus hangat dalam landskap politik Melaka, khususnya menjelang perkembangan semasa yang menyentuh soal kerjasama dan penyatuan parti-parti Melayu.



