PETALING JAYA, — Seorang pegawai khas kepada mantan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikenal pasti sebagai antara pentadbir akaun Facebook rasmi parti ketika insiden sabotaj berlaku pada 14 Februari lalu.
Menurut kenyataan media Ketua Penerangan ARMADA Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid, terdapat empat individu yang mempunyai akses pentadbir penuh terhadap akaun rasmi tersebut ketika kejadian berlaku, termasuk Ahmad Ikhwan Fadhli yang merupakan pegawai khas kepada mantan Timbalan Presiden Bersatu merangkap Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Tiga lagi pentadbir yang dikenal pasti ialah Meor Naqiuddin Shamsudin, pegawai khas kepada mantan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Ahmad Fayhsal, serta Fairus Amri Ibn Suaid dan Ahmad Syafiq Adham. Keempat-empat mereka mempunyai akses penuh termasuk kepada kandungan, mesej, aktiviti komuniti, iklan, analitik, kebenaran dan pemadaman halaman.
ARMADA memaklumkan hantaran berunsur sabotaj bermula pada jam 8.54 pagi, 14 Februari dan berlarutan sehingga jam 11.44 malam pada hari sama, dengan sebanyak 21 hantaran dibuat dalam tempoh hampir 15 jam. Hantaran tersebut didakwa memaparkan imej positif terhadap mantan Timbalan Presiden Bersatu dan sebaliknya terhadap Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Siasatan lanjut mendapati Ahmad Ikhwan Fadhli telah mengeluarkan beberapa pentadbir rasmi akaun tersebut pada 13 Februari 2026, termasuk Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, pegawai media Presiden Mohd Ikhmal Abu Bakar, Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu ARMADA Na’im Brundage serta beberapa lagi pegawai penerangan parti.
Beliau juga didakwa melantik Meor Naqiuddin Shamsudin dan Ahmad Syafiq Adham sebagai pentadbir baharu dalam tempoh sama, sekali gus mengukuhkan kawalan terhadap akaun berkenaan sebelum hantaran sabotaj dibuat.
Bagaimanapun, ARMADA memaklumkan akaun Facebook rasmi Bersatu berjaya diperoleh semula sepenuhnya pada jam 12.41 pagi, 15 Februari 2026, selepas semua individu yang terlibat dikeluarkan daripada akses pentadbir. Pengurusan akaun kini telah kembali kepada pegawai rasmi parti.
Harris berkata insiden itu membuktikan kewujudan unsur sabotaj dalaman dan menegaskan ARMADA bersama pihak berkaitan akan terus mempertahankan kepentingan serta kelangsungan parti daripada sebarang ancaman dalaman.



