Oleh Zihan Zari
KAJANG – Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Dato’ Hj. Abdul Aziz Abdul Razak telah dilantik sebagai Komisoner Jeneral Penjara yang baharu berkuat kuasa pada 14 Februari 2025.
Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataannya memaklumkan, Abdul Aziz, 58, menggantikan Dato’ Seri Hj. Nordin Muhamad yang telah bersara wajib pada 20 Januari lalu.
Abdul Aziz dilahirkan pada 13 Ogos 1966 di Ipoh, Perak berkelulusan Bachelor Sains Ekonomi Sumber, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1989; dan Bachelor of Law (LLB), Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2002.
Beliau kemudiannya telah melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Sastera (Kerja Sosial) di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2010 dan menamatkan pengajian pada 2013.
Abdul Aziz memulakan karier di dalam Jabatan Penjara Malaysia pada 1990 dengan menjalani latihan asas di Maktab Penjara Malaysia (MPM), Kajang, selama tujuh bulan sebelum memulakan tugas di Penjara Pudu sebagai Timbalan Penguasa Gred 41, ”kata kenyataan itu pada Jumaat.
Beliau turut pernah terlibat menjadi Komander pemindahan 1,800 banduan dari Penjara Pudu ke Penjara Sungai Buloh, selepas penjara itu ditutup dan ditamatkan sepenuhnya secara rasmi operasinya pada 1 November 1996.
Selepas itu, beliau ditukarkan ke Penjara Sungai Buloh sebagai Timbalan Pengarah dan telah bertukar ke Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM) Bukit Wira sebagai Ketua Seksyen Logistik pada 1999.
“Di sepanjang ltempoh 35 tahun dalam perkhidmatan, beliau turut menyandang pelbagai jawatan penting di peringkat negeri dan jabatan antaranya, Pengarah Penjara Bentong dengan pangkat Timbalan Komisioner Penjara pada 14 Februari 2011.
Selain itu, Pengarah Bahagian Dasar Kepenjaraan dan Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), ”katanya.
Figura yang berpengalaman luas ini bukan calang-calang orangnya, pernah bertugas di luar negara membantu negara Timor-Leste pada 2002 bagi menggubal Undang-undang dan Peraturan Penjara ketika negara tersebut baharu mencapai kemerdekaan.
Beliau turut terlibat menghadiri kursus, seminar, sesi perbincangan pakar di luar negara seperti Australia, Jepun, Korea Selatan, Jerman, United Kingdom dan rantau Asia Tenggara dalam pelbagai bidang Koreksional serta antara pegawai kanan yang menyumbang tenaga dan idea bagi perlaksanaan Sistem Parol di Malaysia.
Selain itu, beliau telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Parol 2007 selama dua tahun sebelum menjadi Pengarah Akademi Koreksional di Langkawi pada 2009.
Ketika berkhidmat di Penjara Bentong beliau telah diberikan penghargaan, apabila dianugerahkan darjah kebesaran negeri Pahang iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ pada 2013.
“Semoga pengalaman, kemahiran dan kepimpinan beliau akan dapat meneruskan kecemerlangan jabatan ini selari visi dan misi jabatan dengan memenuhi pendekatan Malaysia Madani serta bertepatan dengan agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, ”tambah kenyataan itu.
Terdahulu, Abdul Aziz menerima surat pelantikannya sebagai Komisioner Jeneral Penjara daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Dewan Sri Melati, Kompleks Perbadanan Putrajaya pada Khamis.-SUARA.TV