Keajaiban Kepulauan Komodo

- Advertisement -

JIKA berbicara mengenai Tujuh Keajaiban Dunia Baharu pasti ramai dalam kalangan kita sudah sedia maklum malah ada yang sudah menghafalnya.

Tapi berapa ramai antara kita yang tahu mengenai Tujuh Keajaiban Alam Semula Jadi Baharu?

Ia himpunan tujuh keajaiban lokasi alam semula jadi di dunia yang turut diiktiraf badan yang sama iaitu New 7 Wonders Foundation di Zurich, Switzerland.

Keajaiban alam yang diperkatakan ini menggamit saya untuk mengunjungi satu daripada keajaiban Tujuh Keajaiban Alam Semula Jadi di Indonesia iaitu Taman Nasional Komodo terletak dalam Kabupaten Manggarai Barat, Provinsi Nusa Tenggara Timur (NTT).

Pada Mei 2019 lalu, saya berkesempatan mengunjungi Kepulauan Komodo selama empat hari.

Saya menggunakan penerbangan antarabangsa dari Kuala Lumpur ke Bali dan seterusnya penerbangan domestik Indonesia ke Lapangan Terbang Labuan Bajo.

Suasana berpuasa di Labuan Bajo ini meriah dan terdapat bazar Ramadan sama seperti di Malaysia yang harga makanan di situ lebih murah berbanding kota besar lain seperti Jakarta atau Surabaya.

Walaupun provinsi NTT ini didominasi majoriti penduduk beragama Kristian, kesefahaman dan toleransi tetap wujud sesama mereka. Buktinya masjid mudah ditemui di situ.

Pengalaman berpuasa di sini amat bermakna kerana dapat beramah mesra dan berbuka puasa dengan penduduk tempatan di Masjid Agung Labuan Bajo.

RENJER hutan yang ditugaskan menjaga keselamatan pelancong.
RENJER hutan yang ditugaskan menjaga keselamatan pelancong.

Pihak hotel turut memenuhi permintaan saya untuk menukarkan waktu sarapan kepada waktu yang lebih awal.

Di bandar ini, saya berpeluang mengunjungi beberapa tempat menarik antaranya Goa Batu Cermin, Kampung Ujung, Pandai Pede, Bukit Cinta, Pasar Wae Kesambi, Kampung Melo dan Air Terjun Cunca Wulang yang kelihatan seperti Grand Canyon.

Semua tempat ini saya kunjungi menggunakan motosikal yang disewakan pihak hotel. Selain itu saya turut berpeluang menggunakan pengangkutan awam bemo di kota ini.

Mengikut urutan, Flores adalah pulau ke-10 terbesar di Indonesia.

Keindahan dan keragaman bentuk muka bumi di sini yang berpunca dari Garisan Wallace adalah zon peralihan bagi benua Asia dengan Australia membentuk landskap muka bumi cukup menakjubkan.

Selain diiktiraf sebagai satu daripada keajaiban alam semula jadi pada 2011, Taman Nasional Komodo turut diiktiraf sebagai antara Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di Indonesia pada 1991. Ia turut dinobatkan satu daripada destinasi pelancongan terbaik di dunia oleh majalah National Geographic pada 2017.

 

SUNGAI biru kehijauan di Cunca Wulang Canyon.
SUNGAI biru kehijauan di Cunca Wulang Canyon.

 

Sebegitu banyak pengiktirafan yang diberikan pelbagai pihak sudah pasti lokasi ini menjadi pilihan ideal kepada sesiapa saja yang mendambakan keindahan alam semula jadi.

Sepanjang pengalaman peribadi saya mengembara ke 58 negara di seluruh dunia, saya memilih tempat ini sebagai tempat tercantik yang pernah dikunjungi.

Untuk menikmati keindahan kepulauan ini saya mengikuti pengembaraan ‘1-day trip’ tanpa penginapan dengan bayaran 350,000 rupiah (kira-kira RM100) yang memakan masa selama lebih kurang 13 jam diuruskan pihak hotel.

Tiga pulau utama yang dibawa pihak pemandu pelancongan iaitu Pulau Rinca, Pulau Padar dan Pulau Komodo.

Lokasi pertama kami adalah ke Pulau Padar yang menyajikan pemandangan bukit berumput berwarna hijau pada musim hujan dan bertukar kepada warna coklat keperangan pada musim panas.

BENDERA Malaysia dibawa untuk meraikan kejayaan menawan puncak Pulau Padar.
BENDERA Malaysia dibawa untuk meraikan kejayaan menawan puncak Pulau Padar.

Seterusnya rombongan dibawa ke lokasi utama iaitu ke Pulau Komodo di beberapa titik persinggahan seperti Taman Nasional Komodo Loh Liang untuk melihat habitat semula jadi biawak komodo yang dibiarkan hidup bebas, namun diawasi dengan sangat ketat oleh renjer hutan bertugas.

Di sini semua peserta diberikan peluang mengabadikan gambar bersama si reptilia gergasi itu.

Selepas itu, rombongan turut diberikan peluang bersantai dan melakukan aktiviti selam snorkel atau sekadar berenang di tepian pantai Merah Jambu atau ‘Pink Beach’ yang hanya terdapat beberapa sahaja seumpamanya di dunia. Butiran pasir di sini berwarna merah jambu memberikan pemandangan yang cukup romantis.

 

BIAWAK komodo bersaiz gergasi.
BIAWAK komodo bersaiz gergasi.

 

 

BERBUKA puasa dengan penduduk setempat di Labuan Bajo.
BERBUKA puasa dengan penduduk setempat di Labuan Bajo.

 

Lokasi terakhir di Pulau Komodo ini ialah selam snorkel di Manta Ray Point untuk melihat keluarga ikan pari gergasi.

Secara keseluruhannya perjalanan kembara saya ke Taman Nasional Komodo ini adalah antara pengalaman paling menyeronokkan dan akan dikenang selama-lamanya.

Keindahannya pasti membuat sesiapa saja yang ke sana merindui untuk menjejakinya kembali.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat