KUALA LUMPUR, — Wanita UMNO menegaskan tuntutan supaya sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam kepimpinan parti tidak lagi sekadar cadangan, sebaliknya dimaktubkan secara rasmi dalam Perlembagaan UMNO sebagai komitmen jelas memperkukuh peranan wanita dalam struktur parti.
Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata langkah itu penting bagi memastikan penglibatan wanita dalam kepimpinan parti mempunyai asas perundangan yang kukuh dan tidak bergantung kepada budi bicara semasa.
“30 peratus ini bukan lagi kita minta, tetapi kali ini kita mahu ia dimaktubkan dalam perlembagaan parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2025 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
Menurut beliau, Wanita UMNO menyedari parti kini berada di ambang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dengan tempoh kurang daripada 24 bulan, sekali gus menuntut kesiapsiagaan organisasi yang lebih tersusun, berdisiplin dan berkesan termasuk daripada sayap wanita.
Dalam konteks pembangunan kepimpinan, Noraini berkata Wanita UMNO telah menubuhkan Sekretariat Ibu Zain sebagai platform khusus untuk melatih dan membimbing kepimpinan wanita, selaras dengan saranan perwakilan dari Kedah dan Selangor.
Beliau turut menegaskan bahawa Wanita UMNO sedar akan realiti politik semasa termasuk hubungan dengan rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan serta keperluan mendengar suara akar umbi, namun mengingatkan bahawa semua peringkat parti mesti bergerak sehaluan sebagai satu pasukan.
“Dalam apa jua keadaan, kita mesti bergerak sebagai satu pasukan. Disiplin dan kesepakatan adalah kunci kekuatan parti,” katanya.
Noraini juga menegaskan bahawa hala tuju perjuangan parti perlu dipandu oleh kepimpinan tertinggi, dengan Wanita UMNO memberikan kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan Presiden UMNO sebagai nakhoda parti dalam menentukan arah masa depan.
Dalam pada itu, beliau menyeru jentera Wanita UMNO agar memperkemaskan gerak kerja parti, termasuk pengurusan data serta pendekatan lapangan yang lebih efektif, bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi PRU16 berada pada tahap optimum.
“Ini masa untuk rapatkan hubungan, buat kerja, betulkan data dan perkemaskan gerak kerja. Kita tidak boleh bergerak sambil lewa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa jawatan dan kepimpinan mesti berteraskan kredibiliti dan keupayaan, bukan semata-mata faktor jantina, serta menegaskan agar gerak kerja parti tidak hanya tertumpu kepada pencapaian angka atau petunjuk prestasi utama (KPI).
“Jangan kejar KPI sahaja. Pastikan benar-benar menjaga orang, lakukan man marking yang betul, bukan sekadar penuhkan senarai untuk tuntutan,” katanya sambil menekankan kepentingan keseimbangan antara kekuatan ‘heartware’ dan ‘hardware’ dalam membina kesepakatan parti.
Ucapan penggulungan itu sekali gus mencerminkan pendirian Wanita UMNO untuk bergerak lebih tersusun, bersatu dan berdisiplin, selari dengan usaha memperkukuh parti serta mengembalikan keyakinan rakyat menjelang PRU16.



