Tengku Maimun perlu usahakan penubuhan Mahkamah Perlembagaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menjelang tarikh persaraan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat beliau disaran mempertimbang untuk memimpin usaha menubuhkan sebuah Mahkamah Perlembagaan seperti yang terdapat di Jerman, India, dan Korea Selatan.

Mahkamah ini akan menjadi benteng utama dalam mempertahankan Perlembagaan, menyelesaikan isu-isu perlembagaan yang penting, dan memastikan keseimbangan kuasa antara cabang eksekutif, legislatif, dan kehakiman.

Saranan ini dikemukakan oleh ahli perniagaan dan tokoh hartanah terkemuka negara Tan Sri Lee Kim Yew.

“Kami dengan penuh hormat mencadangkan agar Tun (Tengku Maimun) mempertimbangkan untuk memimpin usaha menubuhkan sebuah Mahkamah Perlembagaan seperti yang terdapat di Jerman, India, dan Korea Selatan.

“Mahkamah ini akan menjadi benteng utama dalam mempertahankan Perlembagaan, menyelesaikan isu-isu perlembagaan yang penting, dan memastikan keseimbangan kuasa antara cabang eksekutif, legislatif, dan kehakiman,” katanya dalam surat terbuka kepada Ketua Hakim Negara itu.

Menurut Kim Yew, Malaysia kini berada di persimpangan jalan.

Justeru katanya, inilah masanya untuk semua pihak—pemimpin, Ahli Parlimen, dan penjawat awam—menyemak kembali sumpah jawatan yang telah mereka angkat.

“Sumpah itu bukan sekadar kata-kata, tetapi satu tanggungjawab untuk menegakkan Perlembagaan, memastikan kebertanggungjawaban, dan mengutamakan kepentingan rakyat serta negara.

“Sebagai tokoh yang dihormati dalam dunia kehakiman, suara dan kepimpinan Tun amat penting dalam membawa rakyat Malaysia, para profesional undang-undang, dan pembuat dasar ke arah reformasi yang bermakna,” ujar beliau.

Dalam surat terbuka itu juga Kim Yew menyebut penubuhan Mahkamah Perlembagaan bukan sahaja akan memperkukuh kedaulatan undang-undang tetapi juga memberikan ruang untuk menyelesaikan pertikaian secara adil dan telus.

“Kami berharap Tun akan terus menjadi sumber inspirasi kepada negara, melangkah ke hadapan sebagai simbol keadilan dan integriti.

“Legasi Tun melampaui peranan sebagai Ketua Hakim Negara; ia adalah legasi keberanian, keadilan, dan dedikasi kepada prinsip-prinsip demokrasi.

“Selamat menikmati masa persaraan yang tenang dan bermakna, namun kami juga berharap Tun akan terus menyumbang kepada usaha memperkukuh sistem perundangan negara demi generasi akan datang.Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan Tun,” ucap Kim Yew.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat cemerlang Tun Maimun dalam memartabatkan keadilan, integriti, dan kedaulatan undang-undang.

“Kepimpinan Tun telah mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman negara, terutamanya ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran besar.

“Namun, menjelang persaraan Tun yang dijadual Julai 2025, negara berada dalam waktu yang amat mencabar dalam sejarah undang-undang dan politik.

Keputusan akhir kes SRC International, yang melibatkan denda besar, hukuman tahanan di rumah, dan keputusan pengampunan oleh mantan Yang di-Pertuan Agong, telah menimbulkan pelbagai reaksi dan perdebatan di kalangan rakyat.

“Kami memahami bahawa perkembangan ini, yang berlaku menjelang persaraan Tun, mungkin meninggalkan kesan mendalam.

“Namun, ketegasan dan keberanian Tun dalam menjunjung prinsip keadilan akan terus dikenang sebagai teladan bagi negara,” kata Kim Yew lagi.

Ujar beliau, peristiwa ini juga menyerlahkan keperluan mendesak untuk melindungi kebebasan badan kehakiman dan memperkukuh mekanisme bagi memastikan Perlembagaan kekal sebagai undang-undang tertinggi negara.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat