YEG akademi melalui fakulti pengurusan Haji dan Umrah perkenal Master, Fast Track Degree dan Microcredential

YEG Academy melalui Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah (FPHU) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Kempen Pengurusan Haji & Umrah 2026 bersempena Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Inovatif yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Pelancaran ini menandakan satu langkah bersejarah dalam landskap pendidikan tinggi negara apabila Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah memperkenalkan program akademik berfokuskan industri Haji dan Umrah secara menyeluruh serta berstruktur, merangkumi peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan penyelidikan lanjutan.

Kempen Pengurusan Haji & Umrah 2026 merangkumi tiga inisiatif utama iaitu pengenalan Program Master Pengurusan Haji dan Umrah yang pertama di Malaysia dan diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), pelaksanaan Program Fast Track Degree Pengurusan Haji dan Umrah yang disertakan latihan industri selama 30 hari di Mekah dan Madinah, serta penawaran Sijil Profesional Haji dan Umrah (SPHU) sebagai program microcredential di bawah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Haji dan Umrah (Kepujian). Majlis ini turut diserikan dengan pelancaran buku terbitan fakulti berjudul Al-Khibrah.

Program Master Pengurusan Haji dan Umrah yang diperkenalkan ini merupakan program sarjana berasaskan penyelidikan yang dirangka khusus untuk melahirkan pakar rujuk dalam bidang pengurusan dan operasi Haji dan Umrah. Program ini memberi penekanan kepada penyelidikan industri sebenar dan dijangka mampu menghasilkan jurnal akademik serta kajian ilmiah yang dapat dijadikan rujukan oleh pengamal industri, pembuat dasar dan institusi pendidikan di dalam dan luar negara. Kewujudan program ini juga bertujuan menutup jurang kekurangan tenaga akademik berkelayakan khusus dalam bidang pengurusan Haji dan Umrah.

Selain itu, Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah turut memperkenalkan Program Fast Track Degree Pengurusan Haji dan Umrah yang direka khas untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Program ini menggabungkan pengajian diploma selama dua tahun dan pengajian ijazah sarjana muda selama satu tahun enam bulan, menjadikan tempoh keseluruhan pengajian hanya tiga tahun enam bulan. Pada semester akhir peringkat ijazah sarjana muda, pelajar akan menjalani latihan industri selama 30 hari di Mekah dan Madinah bagi mendapatkan pendedahan langsung kepada operasi sebenar industri Haji dan Umrah termasuk pengurusan jemaah, logistik, hospitaliti, ziarah dan keselamatan jemaah. Inisiatif ini dilihat sebagai satu kelebihan strategik dalam melahirkan graduan yang benar-benar bersedia memasuki alam pekerjaan.

Dalam usaha memperluaskan akses pendidikan kepada masyarakat umum dan golongan bekerja, Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah turut memperkenalkan Sijil Profesional Haji dan Umrah (SPHU) sebagai program microcredential. Program ini ditawarkan secara dalam talian selama tiga bulan melalui platform e-hajj.my dan merangkumi sebanyak 17 modul yang kini diiktiraf sebagai microcredential di bawah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Haji dan Umrah (Kepujian). Peserta yang mengikuti SPHU berpeluang memperoleh pengecualian jam kredit sehingga satu semester sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah. Program ini memberi fokus kepada penguasaan hukum-hakam Haji dan Umrah, penghayatan sirah Rasulullah SAW serta latihan asas pengurusan dan ground handling Haji dan Umrah.

Majlis pelancaran turut menyaksikan pelancaran buku terbitan Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah berjudul Al-Khibrah yang bermaksud pakar atau profesional. Buku ini menghimpunkan modul akademik terkini, profil pensyarah dan tokoh industri, perjalanan alumni dari Malaysia hingga ke Tanah Suci serta kisah inspirasi graduan yang kini memegang jawatan penting dalam syarikat pengendali Haji dan Umrah di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah ditubuhkan pada tahun 2019 di bawah Kolej Universiti Inovatif dengan kerjasama strategik YEG Academy sebagai satu inisiatif untuk melahirkan tenaga profesional dalam bidang pengurusan Haji dan Umrah. Fakulti ini menekankan pendekatan holistik yang menggabungkan pembelajaran teori dan latihan amali di lapangan bagi memastikan graduan bukan sahaja berilmu, malah memiliki kemahiran operasi dan integriti tinggi. Sehingga kini, fakulti ini telah melahirkan lebih 1,200 orang graduan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah dengan lebih 80 peratus daripada mereka telah berjaya membina kerjaya dalam industri Haji dan Umrah di dalam dan luar negara.

Kolej Universiti Inovatif yang ditubuhkan pada tahun 1996 pula terus komited dalam memperkasa pendidikan tinggi berteraskan industri melalui penjenamaan semula dan pengukuhan falsafah pendidikan yang lebih progresif dan relevan dengan keperluan semasa. Melalui pelaksanaan Kempen Pengurusan Haji & Umrah 2026 ini, Kolej Universiti Inovatif bersama Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah berhasrat membina ekosistem akademik Haji dan Umrah yang lengkap bermula daripada sijil profesional sehingga ke peringkat doktor falsafah, sekali gus mengangkat martabat pengurusan Haji dan Umrah Malaysia ke tahap yang lebih profesional dan berdaya saing di peringkat global.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat