Oleh Zihan Zari
BANDAR BARU NILAI – Pertandingan Mut Perundangan Angkasa (PMPA) 2025 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melabuhkan tirainya dengan penuh meriah dalam majlis penutup yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dekat sini baru-baru ini.
MOSTI dalam kenyataan berkata sebanyak 12 pasukan daripada sembilan buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) telah menyertai pertandingan ini.
“Program julung kali ini dengan kerjasama USIM dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah menghimpunkan peserta daripada universiti, industri dan agensi kerajaan bagi memperkukuh pemahaman mengenai perundangan angkasa yang semakin kritikal selaras perkembangan teknologi global.
“Selari dengan mandat USIM sebagai pusat rujukan undang-undang sivil dan syariah, PMPA 2025 mengintegrasikan pendekatan multidisiplin merangkumi aspek undang-undang, syariah, polisi dan teknologi angkasa, manakala YIM menekankan pembangunan belia, inovasi dan pendidikan teknologi masa hadapan, ”kata kenyataan itu.
“Antara pengisian utama program ialah Persidangan Perundangan Angkasa Kebangsaan 2025, tiga siri webinar dan podcast ilmiah, sesi temu bual eksklusif bersama Menteri MOSTI serta penerbitan bahan digital oleh MOSTI, USIM dan YIM,”katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Dato’ Ruziah Shafei, menegaskan kepentingan memperkukuh kepakaran undang-undang angkasa berikutan peningkatan aktiviti satelit global dan cabaran seperti orbital congestion.
Beliau berkata undang-undang angkasa bukan lagi bidang teori, tetapi menjadi keperluan keselamatan negara dan global. Negara yang tidak memahami tanggungjawab antarabangsa ini berisiko berhadapan liabiliti besar dan ancaman keselamatan.
Menurut beliau, Malaysia kini berada pada landasan kukuh melalui pelaksanaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834], kelulusan Garis Panduan Siasatan Kemalangan Objek Angkasa serta penyertaan negara dalam triti angkasa PBB seperti OST 1967 dan REG 1975.
Menurutnya lagi, PMPA 2025 berperanan sebagai platform strategik melahirkan ‘Peguam Angkasa Masa Depan’ yang berupaya membawa suara Malaysia di peringkat antarabangsa termasuk di Committee on the Peaceful Uses of Outer Space (COPUOS) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Katanya, kejayaan penganjuran PMPA 2025 adalah selaras dengan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) yang mensasarkan sumbangan 1% (peratus) KDNK daripada industri angkasa, pembangunan 5,000 tenaga pakar dan penjenamaan Malaysia sebagai hab serantau tadbir urus angkasa.
“Kejayaan bukan diukur pada trofi, tetapi pada tanggungjawab menjaga ruang angkasa demi masa depan yang aman, selamat dan lestari, ”katanya.
Katanya lagi, MOSTI melalui Bahagian Penguasa Angkasa terus komited memperkukuh latihan, penyelidikan bersama universiti serta kerjasama antarabangsa dengan agensi seperti
United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA) dan International Institute of Space Law (IISL).
Dalam pada itu, majlis penutup turut menghimpunkan para peserta, pensyarah, pengiring, hakim serta wakil industri yang menyokong kejayaan penganjuran PMPA pada tahun ini.
PMPA 2025 menyaksikan prestasi cemerlang daripada semua pasukan, dan keputusan rasmi diumumkan Universiti Malaya (UM) telah dinobatkan sebagai johan manakala USIM meraih naib johan, manakala Mooter Terbaik (Individu) disandang oleh UM dan Memorial Terbaik (2 pasukan) dari USIM.-SUARA.TV



