KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa meminda Perlembagaan Persekutuan agar hanya seorang Melayu beragama Islam boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyeru Perdana Menteri untuk memanfaatkan majoriti dua pertiga yang dimiliki Kerajaan Perpaduan bagi meminda Perlembagaan Persekutuan.
“Kenyataan Tan Sri Lim Kit Siang bahawa ‘Perlembagaan Malaysia tidak menghalang seorang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri’ menimbulkan pelbagai keresahan dalam kalangan orang Melayu yang merupakan kaum majoriti negara ini.
“‘Impian Malaysia’ atau lebih tepat ‘Igauan Malaysia’ versi pemimpin DAP ini seolah-olah telah mematikan roh dan semangat penubuhan Persekutuan Malaysia yang meletakkan aspek perpaduan kaum berteraskan penghormatan kepada kontrak sosial, wasiat Raja-Raja Melayu serta ‘unwritten consensus’ antara yang lain.
“Maka, cadangan saya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa inilah waktu terbaik, dengan majoriti 2/3 yang ada seperti digembar-gemburkan, untuk meminda Perlembagaan Persekutuan agar hanya seorang Melayu beragama Islam boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia,” syor beliau pada Khamis.
Ketua Armada Bersatu itu juga berkata, mungkin, dengan cara ini, sedikit sebanyak dapat memulihkan sokongan orang Melayu di negara ini kepada Kerajaan Campuran pimpinan beliau berbanding memperagakan capal, songkok, cium keris, atau bertiwikrama bahasa.
“Inilah waktunya untuk mematikan igauan pemimpin DAP ini yang telah puluhan tahun mengigau dan menjual mimpi ngeri kepada orang Melayu dan kaum Pribumi yang mempelopori perjuangan Kemerdekaan tanahair dengan bermandi darah dan air mata melawan penjajah ratusan tahun lamanya,” tegas beliau.