KUALA LUMPUR – Kabinet hari ini menetapkan tarikh Isnin 17 Nov ini sebagai perbincangan pertama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dalam usaha menilai penetuan jumlah 40 peratus hak Sabah terkait pemberian khas.
Menurut Jurucakap Kerajaan Madani Datuk Fahmi Fadzil, Kabinet yang bersidang hari ini telah bersetuju secara prinsip bahawa wakil Sabah bagi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan PelaksanaanPerjanjian Malaysia 1963 sebelum ini adalah Datuk Ewon Benedick dan ke depan telah digantikan dengan Datuk Armizan Mohd Ali.
Susulan itu dalam sidang media pasca Kabinet, Armizan menjelaskan, dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada hari telah diputuskan sesegera mungkin perbincangan diadakan dengan Kerajaan Sabah di peringkat pegawai kerana kita tahu di Sabah sedang diambang pilihan raya bahkan sekarang Ketua Menteri pun bertaraf caretaker.
“Kita mulakan segera proses perbincangan itu diantara peringkat pegawai Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah.
“Telah diberikan mandat supaya Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MOF) Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican untuk mengetuai proses perbincangan mewakili Kerajaan Persekutuan manakala Kerajaan Sabah pula diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong.
“Perbincangan pertama akan diadakan pada hari Isnin minggu depan, jadi ini menunjukkan keseriusan Kerajaan Persekutuan untuk kita melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tersebut yang terkait dengan kita perlu menunaikan tanggungjawab iaitu 40 peratus hak Sabah bagi penentuan kadar pemberian khas. Perbincangan akan berlangsung Menara Kinabalu pusat pentadbiran Kerajaan Sabah,” jelas Armizan.
Mengulas lanjut Armizan menyatakan, Jemaah Menteri tersebut telah memutuskan bahawa sebagaiman nasihat daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) Kerajaan Persekutuan tidak akan merayu dalam konteks terkait keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai pemberian 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah, seperti yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Yang mana tidak pernah berlaku dalam Kerajaan Persekutuan sebelum ini. Ini adalah perkara baharu pengiktirafan dan juga penghormatan Kerajaan Persekutuan terhadap hak 40 peratus tersebut, konsisten dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan telah pun diulang dalam jawapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini.
“Ini tidak pernah berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebelum ini,” ujar Armizan.



