CYBERJAYA – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah membenarkan Penghakiman Ingkar Pembelaan (Judgement in Default of
Defence) terhadap pentadbir-pentadbir saluran Telegram Edisi Siasat dan Edisi
Khas, selepas mereka gagal untuk memasukkan kehadiran dan pembelaan
terhadap tindakan guaman yang difailkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Melalui keputusan tersebut, Mahkamah telah mengeluarkan beberapa
perintah penting termasuk deklarasi bahawa pentadbir Edisi Siasat dan Edisi
Khas telah membenarkan kandungan memudaratkan diterbitkan serta
diedarkan terhadap pihak-pihak yang terkilan iaitu institusi awam dan pegawai
awam di Malaysia.
Mahkamah turut memberikan injunksi mandatori yang mengarahkan
pentadbir kedua-dua saluran tersebut untuk menurunkan serta-merta secara
kekal semua kandungan berunsur palsu, mengancam dan memudaratkan lain
yang telah diterbitkan.
Selain itu, Mahkamah turut mengeluarkan injunksi larangan yang menghalang
pentadbir atau mana-mana ejen, pekerja dan sekutu mereka daripada
menerbitkan semula, menyebarkan kandungan yang sama serta menerbitkan
kandungan baharu serupa yang memudaratkan. Mahkamah juga telah
memerintahkan taksiran ganti rugi bagi menentukan ganti rugi am dan ganti
rugi teladan pada tarikh akan datang.
Keputusan ini menegaskan prinsip bahawa kebebasan bersuara di platform
dalam talian tidak boleh disalahgunakan untuk tujuan penyebaran fitnah,
ugutan, pemerasan atau maklumat palsu yang boleh menjejaskan reputasi
individu, keselamatan awam dan keharmonian masyarakat.



