Jentera BN Perlu Kempen Secara Harmoni, Elak Sebar Fitnah – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kempen fitnah dan pembohongan itu adalah sebahagian budaya pembangkang terutama yang dicanang oleh Pakatan Harapan (PH), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Memetik laporan Utusan, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO melihat budaya fitnah khususnya sepanjang tempoh kempen ini adalah perkara biasa terutama bagi blok pembangkang.

“Cuma saya mahu akar umbi dan jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak melakukan perkara sama.

“Kita mesti menjalankan kempen secara harmoni, tiada provokasi dan fitnah,” katanya kepada media selepas menyempurnakan majlis penyerahan peruntukan kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Kompleks Bunga Raya, KLIA, hari ini.

Beliau turut mengingatkan jentera parti supaya memberi kefahaman kepada pengundi bahawa BN pasti akan membela nasib rakyat jika diberi mandat kelak.

Ismail Sabri berkata, jentera parti BN perlu berkempen secara baik dan harmoni serta tidak memburukkan jentera lawan.

“Kita jual ‘produk’ kita dan jangan pula buruk-burukkan terlampau produk orang lain.

“Apa yang penting produk kita yang perlu kita jual. Jika rakyat terima produk kita, pasti mereka akan menyokong kita nanti,” katanya, seperti dilaporkan portal itu.

Mengulas mengenai penyerahan sumbangan kepada MTUC, Ismail berkata, sumbangan berjumlah RM4 juta itu adalah bagi tempoh empat tahun tertunggak.

“Sebelum ini, kerajaan bagi RM1 juta setahun dan ia diberikan sejak dahulu lagi. Selepas kita kalah dan pandemik Covid-19, kita tak bagi apa-apa pun,” katanya.

Tambahnya lagi, sumbangan hari ini sebenarnya sudah diluluskan sejak Julai lalu ketika beliau merasmikan Mesyuarat Agong MTUC.

Jelasnya lagi, jangan pula ada pihak mengaitkan sumbangan itu disebabkan musim pilihan raya sebaliknya ia sudah diluluskan sejak Julai lalu.

Dalam pada itu, Presiden MTUC, Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan di atas sumbangan berkenaan dan ia akan digunakan bagi pelbagai program pembangunan pekerja di negara ini.

Katanya, dana itu akan digunakan bagi program latihan dan membantu pekerja-pekerja di mahkamah perusahaan.

“Sehingga kini, jumlah keahlian mencecah 600,000 dan kita baharu sahaja menerima masuk keahlian daripada 30 kesatuan sekerja ke dalam MTUC,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat