KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin Bersatu telah menyingkirkan lima keahlian anggotanya manakala seorang lagi digantung satu penggal.
Lima ahli Bersatu yang dipecat ialah Datuk Wan Saiful Wan Jan dari bahagian Bangi; Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur); Mohd Isa Saidi (Ampang)
Manakala Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian selama satu penggal.
Lembaga Disiplin Bersatu dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, telah menerima aduan bertulis daripada ahli parti itu terhadap responden-responden tersebut berhubung pelanggaran peruntukan Perlembagaan dan Tatakelakuan ahli parti.
“Sehubungan itu, Lembaga Disiplin telah mengambil tindakan menyiasat aduan dan memanggil responden-responden untuk satu sesi pendengaran pada 8 Oktober 2025 dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
“Lembaga Disiplin memaklumkan bahawa responden-responden berikut telah diambil tindakan atas kesalahan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu dan Kod Etika & Tatakelakuan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Lembaga Disiplin sentiasa bertindak secara telus, adil, dan berlandaskan Perlembagaan parti.
“Ahli parti Bersatu yang didapati bersalah melanggar disiplin Parti dan dijatuhi hukuman adalah berhak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.
“Lembaga Disiplin telah membuat keputusan berdasarkan siasatan yang telah dijalankan serta pertimbangan yang sewajarnya tanpa melibatkan mana-mana campur tangan pihak lain, bebas, dan tidak berat sebelah.
“Lembaga Disiplin juga menyeru kepada semua ahli Bersatu supaya mematuhi Perlembagaan dan Peraturan Kod Etika & Tatakelakuan Ahli demi menjaga nama baik parti,” tegasnya.



